Education

Promosi pascasiswazah cipta peluang baharu untuk guru Perlis

Berita dan gambar Dr. Marini Kasim

KANGAR, 29 Julai 2025: Usaha memperkasa pembangunan profesionalisme dalam kalangan warga pendidik diteruskan oleh Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi penganjuran Taklimat dan Promosi Program Pascasiswazah bersama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPNPs) di Bilik Seminar, JPN Perlis (Cawangan) bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Indera, Kangar.

Sesi yang menghimpunkan guru-guru dan pegawai pendidikan negeri Perlis ini membuka peluang kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan penawaran program pengajian peringkat Sarjana dan Kedoktoran di bawah SOE UUM.

Taklimat dimulakan dengan perkongsian prosedur permohonan kebenaran sambung belajar dan cuti tanpa rekod oleh wakil Sektor Sumber Manusia JPN Perlis, diikuti sesi utama promosi pengajian oleh para penjawat SOE UUM. Penekanan diberikan terhadap fleksibiliti mod pengajian luar kampus serta bidang tumpuan yang ditawarkan, bersesuaian dengan keperluan pembangunan kerjaya warga pendidikan.

Program turut diserikan dengan sesi perkongsian berkaitan persediaan permohonan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP)/ Hadiah Latihan Persekutuan Sambilan (HLPS) sebagai inisiatif penting dalam menyokong hasrat guru dan pegawai pendidikan melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi.

Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan JPN Perlis dalam mempromosikan inisiatif pendidikan tinggi, khususnya dalam kalangan guru dan pentadbir sekolah.

Menurutnya, pengukuhan kapasiti intelektual melalui laluan pascasiswazah adalah antara strategi utama dalam memacu sistem pendidikan MADANI yang lebih progresif dan berimpak tinggi.

“Dengan jalinan strategik seperti ini, kita bukan sahaja memperluas capaian ilmu, tetapi turut membina jaringan kolaboratif yang menyokong transformasi ekosistem pendidikan negara secara menyeluruh,” katanya.

Program ini dirasmikan oleh wakil rasmi Pengarah Pendidikan negeri Perlis yang menyatakan komitmen JPNPs dalam menyokong laluan pembangunan profesional berterusan dalam kalangan pegawai perkhidmatan pendidikan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button