Education

Pusat Islam UUM jayakan program ilmu di Karnival Bakti MADANI UUM

Gambar oleh: Pusat Islam UUM

CHEMOR, PERAK, 17 Ogos 2025 : Karnival Bakti MADANI UUM @ Kg. Ulu Chepor 2025 yang berlangsung dari 15 hingga 18 Ogos 2025 telah menghimpunkan warga universiti dan komuniti setempat dalam satu wadah kebersamaan yang meriah. Program anjuran Majlis Kesukarelawanan Universiti Malaysia (MASKUM) dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) ini menampilkan pelbagai pengisian berbentuk khidmat masyarakat, pendidikan dan pembangunan komuniti.

Pusat Islam UUM turut memainkan peranan penting dengan mengendalikan dua slot utama iaitu Kursus Pengurusan Jenazah serta Kelas Tasmik Bacaan al-Qur’an.

Kursus Pengurusan Jenazah telah dikendalikan oleh Ustazah Nor Azlinah Zaini, Pegawai Hal Ehwal Islam UUM, bersama Ustaz Syahril Fazli Mat Hussin, manakala sesi Tasmik bacaan surah al-Fatihah dibimbing oleh Ustazah Madihah Mohamed Ibrahim dan Ustaz Sharif Abdus Salam Sharif Saad.

Kedua-dua program tersebut menerima sambutan baik daripada masyarakat kampung yang hadir, khususnya golongan dewasa dan anak muda yang ingin memperkukuh pengetahuan agama.

Melalui pendekatan santai namun penuh ilmiah, masyarakat bukan sahaja didedahkan dengan kemahiran praktikal seperti pengurusan jenazah, malah diberi ruang memperbaiki bacaan al-Qur’an mereka secara bersemuka bersama para asatizah.

Seorang peserta, Maria Abdul Manap, melahirkan rasa gembira dengan pengisian program.

“Penyampaian para fasilitator sangat berkesan dan mudah difahami. Suasana pembelajaran yang menyeronokkan memberi semangat untuk saya terus mendalami ilmu agama. Saya berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Lebih menarik, sesi praktikal kursus diadakan secara berkumpulan dengan menggabungkan sukarelawan UUM bersama keluarga angkat masing-masing. Kaedah ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman peserta melalui pengalaman langsung, malah mengeratkan lagi keakraban serta mewujudkan komunikasi berkesan antara mahasiswa dan komuniti kampung.

Selain itu, Pusat Islam UUM turut memberi komitmen dalam pengisian lain sepanjang karnival, antaranya menjayakan Ceramah Perdana oleh penceramah motivasi terkenal, Syamsul Debat, serta bergotong-royong bersama penduduk kampung dalam penyediaan masakan daging rusa untuk kenduri kampung.

Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md Sabri, dalam ucapannya menyatakan harapan agar usaha sebegini dapat diteruskan sebagai satu bentuk sinergi antara universiti dan masyarakat.
“Program turun padang yang memberi manfaat secara langsung ini bukan sahaja memperkukuh keterampilan mahasiswa sebagai sukarelawan berilmu, malah memperlihatkan komitmen UUM dalam membina komuniti yang berdaya tahan, berilmu serta berteraskan nilai Islam dan budaya Malaysia MADANI,” katanya.

Penglibatan aktif Pusat Islam UUM dalam karnival ini sekali lagi membuktikan komitmen universiti dalam memindahkan ilmu dan kepakaran kepada masyarakat luar kampus. Usaha ini sejajar dengan aspirasi UUM untuk melahirkan mahasiswa seimbang dari segi intelek, emosi dan rohani, di samping memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti.

Program sebegini turut menegaskan peranan Pusat Islam UUM sebagai agen pembangunan ummah yang sentiasa berusaha mendekatkan ilmu agama kepada masyarakat, seiring dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan dan kebersamaan. – Nor Azlinah Zaini

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button