Pusat Islam UUM perkasa peranan keluarga MADANI melalui seminar keibubapaan
Gambar oleh: Pusat Islam UUM
SINTOK 10 Ogos 2025: Dengan semangat memperkasa institusi keluarga seiring aspirasi masyarakat madani, Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) menzahirkan sokongan padu terhadap penganjuran Seminar Keibubapaan: Baitul Muslim Sakinah yang berlangsung di Dewan Seminar Pusat Islam UUM hari ini.
Penganjuran ini bukan sekadar medan perkongsian ilmu, malah mencerminkan keutuhan kerjasama strategik antara PIBG SMKA Arau (TMUA), PIBG Sekolah Agama Al-Islahiyah Menengah (SAIM) dan Pusat Islam UUM selaku tuan rumah demi membina keluarga sejahtera, berdaya tahan dan berteraskan nilai Islam yang murni.
Seminar ini menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang, merangkumi kakitangan UUM, ibu bapa serta anggota komuniti awam. Program dibahagikan kepada dua segmen utama, iaitu sesi forum dan sesi ceramah.
Forum bertemakan Baitul Muslim Sakinah: Rahsia Keibubapaan Berkat menampilkan dua tokoh akademik iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Nor Mamat dan Ustazah Ts. Siti Fatahiyah Mahamood dari UiTM Shah Alam.
Penampilan istimewa penyampai dan penerbit rancangan TV3, Ahmad Fedtri Yahya yang terkenal dengan kemahiran bahasa yang memukau serta pengalaman luasnya dalam dunia penyiaran, menjadikan peranan beliau sebagai moderator satu nilai tambah yang menarik dan berkesan.
Perbincangan forum mengilhamkan pelbagai pandangan konstruktif mengenai peranan ibu bapa dalam mendepani cabaran mendidik anak di era digital yang sarat dengan pengaruh media, persekitaran sosial yang kompleks, serta cabaran moral dan akhlak.
Antara mesej utama yang diketengahkan ialah kepentingan membina komunikasi berkesan dalam keluarga, memupuk nilai agama sejak awal usia anak dan mengekalkan disiplin seimbang antara kasih sayang serta ketegasan.
Segmen ceramah pula disampaikan oleh Nazmin Abdullah, Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan UUM dengan tajuk Anak Istimewa Amanah Syurga. Penceramah menyuntik inspirasi kepada ibu bapa yang dikurniakan anak istimewa agar melihat mereka sebagai anugerah, bukan kekurangan.
“Kasih sayang, kesabaran, dan sokongan holistik mampu membantu anak istimewa membangunkan potensi diri secara optimum, di samping memperkukuh hubungan kekeluargaan,” katanya.
Penganjuran seminar ini selari dengan visi Pusat Islam untuk memupuk kesedaran kekeluargaan dan hubungan sosial sebagai teras pembentukan masyarakat madani.
Konsep keluarga madani yang ditekankan melalui program ini menegaskan bahawa institusi keluarga adalah unit asas pembinaan masyarakat yang harmoni, beretika, dan sejahtera. Nilai kasih sayang, komunikasi berhemah, dan amanah yang disemai dalam keluarga akan melahirkan generasi rabbani yang menjadi tulang belakang kepada kemajuan negara.
Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md Sabri, menyatakan harapan agar program berimpak tinggi seperti ini dapat dijadikan agenda berterusan.
“Semoga segala ilmu, panduan dan pengalaman yang dikongsikan oleh para panel dan penceramah dapat dimanfaatkan sepenuhnya, seterusnya menjadi pemangkin kepada pembentukan keluarga yang harmoni, sejahtera dan diberkati Allah SWT,” katanya.
Menurut beliau, hasrat untuk menjadikan Pusat Islam sebagai salah satu pusat yang mesra dan inklusif kepada anak istimewa. Antara perancangan masa hadapan termasuk menyediakan ruang bagi mereka mengikuti latihan serta pendidikan yang sesuai dengan keperluan masing-masing.
Sementara itu, beliau menekankan bahawa kesedaran masyarakat terhadap keperluan khas anak istimewa perlu terus dipupuk. Justeru, Pusat Islam beraspirasi menjadi salah satu pemangkin dalam meningkatkan kesedaran ini seiring dengan misi universiti untuk membina komuniti yang berdaya saing, berempati dan sejahtera. – Nor Azlinah Zaini