Education

Raja Shamri dilantik CEO@Faculty di SAPSP

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Azlin Hilma Hillaluddin

PASIR PUTEH, 29 Mei 2025: Rombongan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) yang diketuai Dekan, Prof. Madya Dr. Siti Rozaina Kamsani telah mengadakan kunjungan hormat ke Pasir Puteh, Kelantan untuk bertemu dengan ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Shamri dan Pengasas The 3rd Force, Raja Shamri Raja Husin.

Beliau telah dilantik sebagai mentor industri di bawah program CEO@Faculty bagi program Kerja Sosial di SAPSP selama 2 tahun berakhir Disember 2026.

CEO@Faculty Programme adalah program di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi yang melakukan pemadanan CEO terpilih bagi menghubungkan akademia dan industri.

Pelantikan CEO@Faculty adalah untuk memberikan khidmat nasihat, syarahan, perkongsian ilmu dan maklumat serta idea kepada pelajar, pensyarah dan kakitangan universiti.

Dalam sesi perbincangan selama lebih kurang dua jam itu, Raja Shamri yang mesra dikenali sebagai ‘Abang Raja’ menceritakan pengalaman beliau dan pasukannya membantu masyarakat yang memerlukan di seluruh Malaysia, khususnya di Kelantan.

Turut dibincangkan adalah potensi kerjasama di antara SAPSP dengan Yayasan serta badan bukan kerajaan (NGO) beliau, terutamanya dari aspek pembangunan pelajar, kurikulum, dan perkongsian pintar bersama warga universiti.

Kunjungan ini turut disertai oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Azlin Hilma Hillaluddin; Pengerusi Program Pascasiswazah Dasar dan Kerja Sosial, Dr. Teoh Ai Hua, dan Pengerusi Program Sarjana Muda Kerja Sosial, Rusimah Sayuti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button