Education

SAPSP jalin hubungan pendidikan kerja sosial dengan Guangxi Minzu Normal University dan Guangzi Medical University

Berita dan gambar Dr. Chan Cheong Chong

GUANGXI, 15 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Sains Sosial Gunaan dan Psikologi (SAPSP) telah menjalin hubungan kerjasama dalam bidang pendidikan kerja sosial dengan dua institusi terkemuka di China iaitu Guangxi Minzu Normal University dan Guangxi Medical University.

Guangxi Medical University (GXMU), yang ditubuhkan pada 21 November 1934 di Nanning merupakan salah satu institusi pendidikan perubatan tertua di China. Universiti ini terkenal dengan program perubatan klinikalnya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan telah menerima pelajar antarabangsa sejak awal penubuhannya. GXMU juga merupakan pusat utama bagi pendidikan perubatan, penyelidikan klinikal, dan penjagaan kesihatan awam di wilayah Guangxi.

Delegasi Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) UUM terdiri daripada Prof. Madya Dr. Azlin Hilma Hillaluddin dan Dr. Teoh Ai Hua telah menyertai lawatan kerja ini selama tiga hari mulai 22 April lalu.

Satu sesi perkongsian kerja sosial telah dianjurkan oleh School of Management GXMZNU di mana Dr. Azlin Hilma, Dr. Chan, dan Dr. Teoh masing-masing telah dijemput untuk menyampaikan syarahan mengenai kerja sosial di Malaysia.

Sesi tersebut dihadiri oleh pensyarah dan pelajar program Kerja Sosial GXMZNU dan mereka teruja apabila diberi penerangan mengenai perkembangan profesion kerja sosial, keperluan latihan dalam perkhidmatan sosial, serta perkhidmatan perlindungan kanak-kanak di Malaysia.

Melalui kerjasama ini, Dr. Azlin Hilma berkata, SAPSP UUM berhasrat untuk memperkukuhkan program akademik dan penyelidikan dalam bidang kerja sosial, khususnya yang berkaitan dengan kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat.

Katanya, kerjasama ini dijangka merangkumi pertukaran pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama, serta pembangunan kurikulum yang selaras dengan keperluan semasa dalam bidang kerja sosial.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen UUM untuk memperluas jaringan antarabangsa dan meningkatkan kualiti pendidikan serta penyelidikan dalam bidang kerja sosial, sejajar dengan perkembangan global dan keperluan masyarakat yang semakin kompleks,” katanya.

Seterusnya, delegasi telah mengadakan kunjungan ke Guangxi Medical University dan bertemu dengan Setiausaha Parti Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, Prof. Tang Zhong, serta ketua-ketua program Kerja Sosial Perubatan dan program Perlindungan Sosial.

Satu sesi perkongsian mengenai kurikulum kerja sosial di universiti masing-masing telah dilakukan. Turut dibincangkan adalah peluang kerjasama akademik yang melibatkan kepakaran pensyarah dan pelajar.

Delegasi UUM turut dibawa melawat satu pusat perkhidmatan sosial di komuniti Mingxiu South, bandar Nanning di mana pusat tersebut menyediakan pelbagai perkhidmatan sosial kepada penduduknya terutamanya warga emas. Antara kejayaan perkhidmatan yang boleh dicontohi adalah kewujudan kantin awam untuk menyediakan makanan yang sihat dan murah kepada golongan yang memerlukan dalam komuniti. Malah, segala pengurusan perkhidmatan dan penilaian keperluan dijalankan berdasarkan analisis data sebenar yang dipantau menerusi skrin besar di bilik operasi.

Dengan motto: “Biar data berjalan sebanyak yang mungkin, asalkan rakyat tidak perlu berulang-alik (untuk mendapatkan perkhidmatan)”. Aplikasi big data dalam profesion kerja sosial adalah satu trend terkini yang telah digunakan secara meluas di China dan terbukti berjaya dilaksanakan di sana untuk keperluan masyarakat setempat.

Turut serta, wakil UUM Kampus Kuala Lumpur iaitu Prof. Dr. Norlena Hassan, Prof. Madya Dr. Ahmad Rizal Mazlan, dan Dr. Chan Cheong Chong.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button