Sembilan usahawan wanita Kubang Pasu dilatih dan dibimbing dalam Projek Komuniti SIGS-Boostpreneur-QUEEN
Berita dan gambar Ts. Dr. Mathivannan Jaganathan
KUBANG PASU, 20 Ogos 2025: Seramai sembilan orang usahawan wanita dari daerah Kubang Pasu berjaya meningkatkan ilmu dan kemahiran perniagaan melalui projek Boostpreneur-QUEEN (Quality Up-skilling and Empowerment for Entrepreneurial Nurturing) anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) sejak Oktober 2024 hingga Mei 2025.
Projek berimpak tinggi ini dibiayai menerusi Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS), Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), UUM dalam bentuk Geran Inovasi Universiti sebagai usaha memperkukuh jaringan universiti, industri dan komuniti.
Boostpreneur-QUEEN diketuai oleh Ts. Dr. Mathivannan Jaganathan dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), UUM bersama barisan penyelidik dan perunding, Dr. Azrain Nasyrah Mustapa, Prof. Dr. Selvan Perumal, Dr. Juhaida Abu Bakar dan Syahrina Abdullah.
Kerjasama erat turut dijalinkan dengan Kolej Komuniti Bandar Darulaman, USAHANITA Negeri Kedah, Persatuan Usahawan Wanita Bukit Kayu Hitam (ROSE) serta Persatuan Wanita Inspirasi Mampan Jerlun bagi memastikan projek memberi manfaat menyeluruh kepada komuniti setempat.
Dr. Mathivannan berkata, dalam tempoh lapan bulan, kesemua sembilan peserta mengikuti 10 siri bengkel intensif merangkumi asas keusahawanan, pengurusan kewangan, strategi pemasaran, penghasilan produk makanan sejuk beku, penggunaan media sosial, pemasaran digital menggunakan Google Tools, serta aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan.
Menurutnya, latihan ini memberi ruang kepada peserta untuk mempraktikkan kemahiran baharu termasuk menghasilkan produk sejuk beku secara profesional, membina strategi pemasaran digital, dan menggunakan AI untuk meluaskan pasaran.
“Projek ini bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga mengukur kesan langsung kepada peserta.
“Kami mahu usahawan wanita bukan sekadar hadir ke bengkel, tetapi pulang dengan keyakinan, kemahiran digital dan strategi baharu untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Hasil penilaian menunjukkan peningkatan dari segi pengetahuan, motivasi, serta pengurusan kewangan. Malah, selepas tamat latihan, peserta diwujudkan dalam komuniti digital WhatsApp Business sebagai platform untuk terus berkongsi ilmu dan pengalaman.
Sementara itu, peserta projek, Patimah Sulai berkata, dia kini lebih yakin memasarkan produk melalui alatan digital dan AI.
Menurutnya, pelanggannya tidak lagi terhad di sekitar rumahnya, malah lebih meluas.
Seorang lagi peserta, Surina Bahari dari USAHANITA berkata, bengkel makanan sejuk beku membuka peluang baharu untuk produknya.
Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam menegaskan bahawa SIGS diwujudkan bagi menggalakkan akademia menyalurkan kepakaran terus kepada komuniti.
“Kami mahu setiap projek SIGS membawa impak nyata, terutama dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat.
“Boostpreneur-QUEEN adalah contoh bagaimana kolaborasi universiti, agensi dan komuniti mampu melahirkan usahawan wanita berdaya saing,” katanya.
Selain dana SIGS, projek turut menerima sokongan in-kind daripada Kolej Komuniti Bandar Darulaman yang menyediakan dapur latihan, dewan pengajian serta tenaga pengajar. Boostpreneur-QUEEN dilihat sebagai model pembangunan komuniti berasaskan ilmu, inovasi dan digitalisasi.
Kejayaannya membuktikan pemerkasaan wanita mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, selari dengan aspirasi Malaysia Madani.