Education

SOC ambil inisiatif anjur Bengkel Persediaan Pengajaran dan Pembelajaran untuk pensyarah antarabangsa

Gambar SOC

SINTOK, 6 Mac 2025: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Persediaan Pengajaran dan Pembelajaran selama tiga hari bermula dari 3 hingga 5 Mac lalu khusus untuk pensyarah antarabangsa di Biliik Mesyuarat Utama SOC.

Bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan kepada mereka mengenai sistem pengajaran dan pembelajaran yang diterapkan di universiti ini dan merupakan salah satu inisiatif universiti untuk memastikan setiap pensyarah antarabangsa lebih memahami pendekatan pengajaran di UUM.

Fasilitator bengkel, Prof. Madya Ts. Dr. Izwan Nizal Mohd Shaharanee berkata, usaha ini mendapat kerjasama penuh daripada pihak UTLC dari segi kandungan dan penceramah yang berkenaan.

Sepanjang bengkel, peserta didedahkan kepada pelbagai aspek penting berkaitan pengajaran dan pembelajaran di UUM, termasuk struktur kurikulum, pendekatan pedagogi, penggunaan teknologi dalam pembelajaran, serta kaedah penilaian pelajar yang berkesan.

Selain itu, mereka turut diberikan panduan mengenai budaya akademik di Malaysia, bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran pendidikan dan memahami keperluan pelajar dengan lebih baik.

“Program ini memberi peluang kepada para peserta untuk memahami keunikan ekosistem akademik di UUM.

“Bengkel ini bukan sahaja membantu pensyarah antarabangsa memahami sistem pengajaran di UUM, malah ia juga memberi mereka ruang untuk menyesuaikan pendekatan mereka agar lebih sesuai dengan budaya pembelajaran di sini. Saya berharap program ini dapat meningkatkan kualiti pengajaran serta memperkasa pengalaman pembelajaran pelajar,” katanya.

Bengkel ini juga menjadi platform bagi pensyarah antarabangsa untuk bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman mereka dalam bidang pendidikan tinggi.

Sesi interaktif dan perbincangan yang diadakan sepanjang program membantu memperkukuhkan kefahaman mengenai amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran di UUM.

Dengan penganjuran bengkel ini, diharapkan pensyarah antarabangsa dapat mengadaptasi kaedah pengajaran yang lebih efektif serta menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan di UUM. – Fazilah Hibadullah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button