SOC dan Aurelius Hospital tingkat kesedaran kesihatan paru-paru dan gaya hidup sihat
Berita dan gambar Noor Aina Norrdin
SINTOK, 14 Mei 2025: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) telah menganjurkan Program Kesedaran Kesihatan dengan kerjasama Aurelius Hospital, semalam.
Program ini telah melibatkan seramai 10 staf dari hospital dan dimeriahkan dengan kehadiran dua pakar perubatan berpengalaman iaitu Pakar Perubatan Dalaman (Respiratori), Dr. Razul Md Nazri Md Kassim, dan Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi, Dr. Nor Aslina Abd Samat.
Pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat telah dijalankan sepanjang program, termasuk sesi ceramah kesihatan berkaitan asma dan gastrik oleh pakar dari Aurelius Hospital, pemeriksaan kesihatan asas seperti tekanan darah dan pengiraan BMI serta sesi soal jawab bersama pakar, yang memberi ruang kepada peserta untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan isu kesihatan harian.
Dalam sesi ceramah, kedua-dua pakar telah berkongsi panduan praktikal berkenaan langkah-langkah penjagaan kesihatan diri. Dr. Razul menegaskan bahawa jika batuk berterusan selama lebih dua minggu, ia adalah gejala yang tidak boleh diabaikan.
Beliau menyarankan agar individu yang mengalami keadaan tersebut menjalani pemeriksaan lanjut bagi mengesan kemungkinan jangkitan tuberkulosis (TB).
Sementara itu, Dr. Nor Aslina memberi peringatan tentang risiko simptom gastrik yang kerap berulang.
Menurutnya, sekiranya seseorang mengalami ketidakselesaan perut secara berterusan, mereka digalakkan untuk menjalani pemeriksaan endoskopi (scope) bagi mengenal pasti punca sebenar dan menilai tahap kesihatan perut dengan lebih menyeluruh. Prosedur ini penting untuk diagnosis awal serta pencegahan komplikasi serius seperti luka atau ulser.
Perkongsian berinformasi daripada kedua-dua pakar ini memberikan impak yang besar kepada peserta, yang bukan sahaja mendapat pendedahan terhadap aspek kesihatan dalaman, malah menjadi lebih peka terhadap tanda-tanda awal penyakit yang sering diabaikan.
Sambutan positif dan penglibatan aktif peserta membuktikan bahawa inisiatif berteraskan pendidikan kesihatan seperti ini mampu menyemai kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat.
Selain itu, program ini turut mengukuhkan hubungan kerjasama antara SOC dan Aurelius Hospital dalam mempromosikan kesejahteraan komuniti kampus.