SOC UUM perkukuh jalinan strategik industri di Cyberjaya
Gambar Chek Jamaliah Osman
CYBERJAYA, 19 Ogos 2025: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat ke beberapa organisasi utama di Cyberjaya bagi memperkukuhkan kerjasama industri dan akademia dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat digital.
Delegasi SOC diketuai oleh Dekan, Prof. Dr. Osman Ghazali bersama Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Husniza Husni; Prof. Dr. Huda Ibrahim, Mohd Nazir Hamzah dan Chek Jamaliah Osman.
Lawatan dimulakan di Cybersecurity Malaysia dengan perbincangan bersama Profesor Adjung SOC, Dato’ Amirudin Abdul Wahab, yang juga CEO@Faculty. Delegasi seterusnya ke FINEXUS bertemu dengan CEO@Faculty SOC, Lee Keng San, sebelum menutup siri kunjungan di DreamEDGE bersama seorang lagi Profesor Adjung SOC, Dato’ Khairil Adri Adnan.
Dr. Osman berkata, kunjungan ini amat bermakna dalam memperkukuh hubungan strategik SOC dengan rakan industri.
“Kami yakin kerjasama ini akan membuka peluang lebih luas dalam penyelidikan serta memberi manfaat langsung kepada pelajar dan staf akademik, khususnya dalam pendedahan teknologi terkini dan pembangunan kemahiran masa depan.
“Kunjungan ini mencerminkan komitmen SOC UUM untuk terus memperkukuh jaringan strategik dengan industri selaras dengan aspirasi universiti sebagai peneraju dalam bidang ilmu, pengurusan dan teknologi,” katanya. – Prof. Madya Dr. Husniza Husni