SOE luaskan jaringan pendidikan serantau di Thailand
Gambar Wendy Wong Sin Yung
KRABI, 21 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) terus mengorak langkah memperkukuh jaringan pendidikan serantau dan peranan komuniti global melalui Program SOE ASEAN Outreach: Empowering Communities and Academic Collaboration with Walailak University, yang berlangsung dari 28 April hingga 11 Mei lalu di Thailand.
Program ini disertai oleh 31 peserta, terdiri daripada lima staf akademik dan 26 pelajar SOE, dengan kerjasama strategik Persatuan Pengurusan Pendidikan (PENDIDIK) UUM dan dijalankan secara hibrid, menggabungkan penyertaan fizikal dan dalam talian, sekali gus memperluas capaian, keterlibatan dan impak pembelajaran.
Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman berkata, program ini melambangkan usaha berterusan UUM dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Penglibatan pelajar dalam program rentas sempadan ini bukan sahaja memperluas pandangan global, malah memperkukuh nilai kepimpinan berasaskan ilmu, kemahiran, sikap selaras dengan teras dan aspirasi universiti,” katanya.
Program ini dimulakan dengan pengisian utama di Walailak University melibatkan sesi wacana ilmiah, pertukaran budaya, serta perbincangan kerjasama dalam pengajaran dan penyelidikan bersama pensyarah dan pelajar Fakulti Pendidikan. Kolaborasi ini membuka ruang strategik dalam pembangunan program latihan guru, inovasi pedagogi, dan projek penyelidikan bersama dalam bidang pendidikan ASEAN.
Delegasi UUM turut melanjutkan aktiviti di peringkat sekolah melalui lawatan ilmiah ke Prateeptham Foundation School, dan pelaksanaan aktiviti pembelajaran menyeronokkan (fun learning) bersama warga pendidik dan pelajar Sekolah Islam Adameesuksavittaya. Aktiviti ini memberi pendedahan praktikal kepada pelajar tentang kepelbagaian pendekatan pedagogi dan cabaran pendidikan setempat.
Program diteruskan dengan aktiviti komuniti di Pulau Koh Panyee, sebuah perkampungan nelayan terapung di mana peserta menyertai gotong-royong, penyampaian sumbangan pendidikan dan makanan asas, serta aktiviti penghayatan realiti kehidupan komuniti, yang membina empati dan pemahaman mendalam terhadap dimensi sosial dan budaya masyarakat luar bandar.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Mardzelah Makhsin berpandangan bahawa keterlibatan pelajar dalam program sebegini bukan sahaja mengembangkan potensi akademik, malah memperkukuh pembentukan jati diri, empati, dan semangat kesukarelawanan.
Menurutnya, pendekatan berasaskan pengalaman sebenar ini amat berkesan dalam mendidik pelajar menjadi insan holistik, seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Pengarah Program, Nur Fitri Allyana Zamzuri, pelajar Semester 4 Program Ijazah Sarjana Muda Bimbingan dan Kaunseling berkata, pendekatan pelaksanaan secara hibrid telah memberikan nilai tambah yang signifikan kepada peserta.
“Gabungan interaksi fizikal dan dalam talian bukan sahaja memperluas pendedahan budaya, malah mengukuhkan kemahiran komunikasi, kepimpinan serta refleksi kendiri dalam kalangan pelajar,” katanya.
Keseluruhannya, SOE ASEAN Outreach telah berjaya memperkukuh jaringan akademik serantau, merintis penyelidikan bersama, memperkasa peranan pelajar sebagai agen perubahan sosial, dan mengangkat imej UUM sebagai institusi pendidikan tinggi berteraskan Ilmu, Budi dan Bakti dalam menyumbang kepada komuniti ASEAN. – Nur Fitri Allyana Zamzuri