SOE sertai ICEF2025 jalin kolaborasi peringkat antarabangsa
Gambar SOE
FILIPINA, 18 September 2025: Wakil Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghadiri CAPEU Board of Directors’ Meeting dan 7th Annual General Meeting serta International Conference On Education Future (ICEF2025) anjuran Consortium of Asia Pacific Universities (CAPEU) di Century Park Hotel Manila, baru-baru ini.
SOE telah diwakili oleh Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman dan Pengerusi Praktikum Keguruan, Prof. Madya Dr. Mat Rahimi Yusof.
Sejak tahun 2014, SOE telah menjadi ahli aktif kepada Consortium of Asia Pacific Universities (CAPEU) iaitu sebuah jaringan serantau yang menghimpunkan institusi pendidikan tinggi terkemuka di Asia Pasifik dengan memfokuskan kepada pemerkasaan bidang pendidikan.
Dr. Mohamad Khairi berkata, tujuan menghadiri persidangan ini adalah untuk menjalinkan kolaborasi dalam bentuk program mobiliti akademik, penyelidikan bersama, penerbitan, seminar serantau dan pelbagai bentuk pertukaran ilmu dan menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan serantau.
“Penglibatan berterusan dalam persidangan anjuran CAPEU adalah penting bagi memastikan kesinambungan hubungan ini serta mengoptimumkan manfaaat jaringan antarabangsa kepada komuniti akademik SOE.
“Penyertaan ini juga akan memperkukuhkan jenama SOE dan meningkatkan keterlihatan UUM di peringkat antarabangsa khususnya dalam kalangan institusi pendidikan rantau Asia Pasifik dan seterusnya peningkatan dalam ranking melalui reputasi akademik dengan rakan-rakan universiti,” katanya. – Hasliza Shafie