Education

SOE UUM dan JPN Kelantan perinci usaha peningkatan profesionalisme guru cemerlang STEM

Berita dan gambar Muhd Zulhilmi Haron

KOTA BHARU, 6 Julai 2025: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mempergiat jaringan kolaborasi strategik dengan agensi pendidikan negeri melalui perbincangan lanjutan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK) bagi membincangkan tawaran program peningkatan profesionalisme guru cemerlang dalam bidang sains dan matematik.

Bertempat di Bilik Mesyuarat Teratai, Aras 4, JPN Kelantan, delegasi UUM dihadiri oleh Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman dan beberapa penjawat SOE.

Kehadiran ini adalah sebagai maklum balas terhadap surat jemputan rasmi JPN Kelantan bertarikh 10 Jun 2025.

Dr. Mohamad Khairi berkata, perbincangan ini bertujuan memperincikan tawaran program yang dicadangkan pihak SOE berkaitan pembangunan profesionalisme guru-guru cemerlang dalam bidang sains dan matematik di negeri Kelantan.

“Inisiatif ini merupakan usaha berterusan SOE dalam memartabatkan kualiti pengajaran guru di peringkat negeri, di samping menyokong inisiatif Malaysia MADANI melalui pemantapan kapasiti guru sebagai agen transformasi pendidikan.

“Selain itu, ia bukan sahaja menyasarkan peningkatan kemahiran teknikal, malah turut mengangkat kompetensi reflektif dan kepimpinan instruksional dalam kalangan guru cemerlang yang menjadi rujukan di peringkat sekolah dan daerah,” katanya.

Dalam sesi tersebut, pihak JPN Kelantan diwakili oleh beberapa pegawai kanan Sektor Pembelajaran yang turut mengetuai perbincangan teknikal berkaitan kandungan, struktur serta pelaksanaan program secara berfokus dan komprehensif.

Kerjasama ini dijangka membuka ruang kepada penghasilan modul latihan berimpak tinggi serta bimbingan berstruktur dalam aspek pedagogi kontemporari, inovasi kurikulum dan pentaksiran dalam bilik darjah.

Persetujuan awal pelaksanaan program tersebut telah dimeterai antara kedua-dua pihak sebagai asas pelaksanaan segera dan penyelarasan susulan secara bersama.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button