Education

SOE UUM dekati JHEAINK bincang arah baharu Pendidikan Islam dan pembangunan profesional guru negeri Kedah

Berita dan gambar Dr. Muhd Zulhilmi Haron

ALOR SETAR, 12 Oktober 2025: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan agenda jalinan strategik bersama agensi negeri melalui kunjungan hormat ke Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK), baru-baru ini.

Delegasi UUM diketuai oleh Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman, bersama Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Mua’azzam Mohamad, serta Pengerusi Program Pascasiswazah Luar Kampus/Pesisir, Dr. Muhd Zulhilmi Haron.

Dalam pertemuan tersebut, Dr. Mohamad Khairi telah menekankan tiga fokus utama iaitu mempromosikan program-program pascasiswazah kepada tenaga pengajar di bawah JHEAINK, menawarkan latihan profesional kepada guru-guru sains dan matematik bagi memperkukuh kompetensi mereka dalam bidang pendidikan, serta menyediakan latihan pedagogi khusus untuk guru tadika Islam dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran di peringkat prasekolah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAINK, Syeikh Hasbullah Mukhtar telah menzahirkan penghargaan atas inisiatif yang dibawa oleh UUM.

Beliau berkata, pihaknya melihat kerjasama dengan UUM ini sebagai peluang yang sangat berharga untuk meningkatkan kualiti pendidikan Islam di Kedah.

Menurutnya, penawaran latihan kepada guru sains, matematik dan juga guru tadika Islam ini amat relevan dengan keperluan semasa.

“Kami berhasrat untuk membuat kunjungan balas ke UUM dalam waktu terdekat bagi membincangkan pelaksanaan kerjasama ini dengan lebih mendalam,” katanya.

Inisiatif ini sekali gus meneguhkan lagi peranan UUM dalam memperkukuh profesionalisme pendidikan Islam di peringkat negeri serta menyokong agenda pembangunan modal insan berkualiti tinggi seiring aspirasi negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button