SOG UUM kukuhkan hubungan serantau bersama Universitas Djuanda, Indonesia
Gambar Mohd Mahadi Mohd Razani
SINTOK, 24 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan apabila menerima kunjungan delegasi seramai 57 peserta dari Universitas Djuanda (UNIDA), Bogor, Indonesia dalam program GovXplore: SOG International – Inbound Mobility Programme (UNIDA x UUM) yang berlangsung dari 10 hingga 24 Julai ini secara fizikal dan atas talian.
Delegasi terdiri daripada 11 staf akademik dan pentadbiran serta 46 pelajar peringkat sarjana (S2) dalam bidang Pentadbiran Awam dari Fakulti Sains Sosial dan Politik, UNIDA.
Program ini merupakan inisiatif Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), UUM dalam memperluas jaringan akademik serantau, sekali gus membuka ruang kolaborasi rentas institusi dalam bidang pengajaran, penyelidikan dan pembangunan pelajar.
Antara kemuncak program ini ialah penganjuran International Mini Seminar bertemakan “Rethinking Government and Management: Strategies for the Future” pada 17 Julai lalu di Dewan Seminar C, Kompleks Konvensyen UUM.
Seminar tersebut telah menyaksikan 15 pembentang terdiri daripada pensyarah dan pelajar pascasiswazah dari kedua-dua institusi menyampaikan hasil kajian dan buah fikiran mereka dalam sesi selari di Dewan A, B dan C.
Tema yang diketengahkan membuka ruang perbincangan kritikal berkaitan isu-isu tadbir urus, dasar awam, pembangunan mampan, teknologi digital dan inovasi sektor awam.
Dekan GSGSG, Prof. Dr. Rusdi Omar sebagai perasmi selaku wakil Dekan SOG dalam ucapannya berkata, program inbound mobiliti ini menjadi platform berharga untuk pertukaran budaya, kerjasama akademik dan penglibatan bermakna merentas sempadan.
“Ia mencerminkan komitmen kami untuk meluaskan perspektif, mengukuhkan rangkaian serantau, dan menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam tentang pentadbiran awam dalam konteks negara yang berbeza.
“Saya berharap agar program seperti ini menjadi titik tolak kepada kolaborasi jangka panjang dalam pelbagai bentuk seperti penyelidikan bersama, pertukaran staf akademik dan penerbitan ilmiah antara dua institusi,” katanya.
Dalam ucapan balas, wakil UNIDA, Prof. Madya Dr. Rita Rahmawati, turut menyatakan penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan serta berhasrat agar hubungan dua hala ini diteruskan melalui pelbagai platform dan inisiatif masa depan.
Dengan berakhirnya program ini, satu lagi sejarah kerjasama pendidikan antarabangsa telah dilakar.
SOG UUM kekal komited dalam menyumbang kepada pembangunan kapasiti global, khususnya dalam melahirkan pemimpin sektor awam yang berwawasan dan berkebolehan mendepani cabaran masa hadapan. – Sr. Dr. Farahiyah Fadzil