SoHK jadi titik permulaan pelajar UUM ke dunia profesional
Gambar Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG)
KUALA LUMPUR, 11 Jun 2025: Seramai 25 pelajar telah berjaya menamatkan Program Bank Islam Padawan dan diraikan dalam satu Majlis Graduasi yang berlangsung di Menara Bank Islam, Kuala Lumpur.
Program padawan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) yang bertujuan untuk memperkasa pelajar melalui pendedahan langsung kepada persekitaran kerja sebenar serta membina jati diri, kepimpinan, dan kemahiran insaniah yang kukuh.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bersama Universiti Utara Malaysia (UUM).
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Penolong Pengurus, Budaya, Insan dan Pembangunan, Kumpulan Sumber Manusia Bank Islam, Norlieyana Roos Affendey, dan Penolong Pengurus, CDX, Kumpulan Digital, Zahrain Aris Bakti Zulkifli.
Mereka mengalu-alukan kedatangan delegasi dan pelajar UUM serta menyatakan penghargaan terhadap komitmen para peserta.
Zahrain Aris telah menekankan peranan institusi kewangan dalam membimbing generasi masa hadapan serta berhasrat agar program seperti ini diteruskan lagi pada masa hadapan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, dalam ucapannya berkata “Untuk bersaing dalam pasaran kerja, pelajar juga perlu membina kemahiran penting yang lain seperti kemahiran komunikasi yang baik, keupayaan untuk mengurus dan bekerjasama dengan orang lain serta memiliki disiplin diri yang tinggi.”
Beliau juga menggalakkan pelajar untuk menerapkan ilmu yang diperoleh sepanjang program dan berperanan sebagai individu berdaya saing yang mampu membawa pembaharuan dalam industri.
Majlis diteruskan lagi dengan sesi penyampaian sijil sebagai pengiktirafan terhadap komitmen, usaha dan pencapaian sepanjang penglibatan dalam program kepada graduan, disempurnakan oleh Dr. Ahmad Martadha yang diiringi oleh wakil pengurusan kanan Bank Islam
Seterusnya, majlis turut menjemput Pavithran Rao Subramaniam wakil daripada Bank Islam Padawan untuk berkongsi perjalanan mereka sepanjang program ini.
Perkongsian ini memberikan gambaran yang jelas tentang ilmu, pendedahan praktikal, dan nilai tambah yang diperoleh sepanjang tempoh program itu.
Sebelum berakhirnya majlis itu, pelajar diberi peluang melawat fasiliti dan kemudahan yang disediakan oleh Bank Islam dan meninjau operasi harian Bank Islam serta memahami budaya kerja institusi kewangan Islam, sekali gus memperkukuh aspirasi mereka untuk menceburi industri perbankan Islam secara profesional.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed; Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah, dan Penyelaras Program SoHK, Dr. Adilah Azhari. – Anis Zulaikha Kamal