SQS asah pelapis STEM melalui pendekatan geometri kreatif dan interaktif menerusi Program STI 1003
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad
PERLIS, 14 Julai 2025: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah menganjurkan aktiviti Bina Bandar Geometri Anda di bawah program GenSTEM: Mengasah Pelapis STEM di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Budriah (SKRPB), Simpang Empat.
Program yang diketuai oleh Dr. Wan Laailatul Hanim Mat Desa dan dibantu oleh empat saintis, yang merupakan pensyarah SQS, memberi fokus kepada minat dan kemahiran STEM dalam kalangan murid Tahap 2.
Dr. Wan Laailatul berkata, program ini merupakan tajaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Program Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) 100³ Kitaran 1 Tahun 2025, kesinambungan kepada inisiatif yang telah dilaksanakan pada tahun sebelumnya. Kitaran kali ini melibatkan 83 saintis yang dipadankan dengan 83 sekolah di seluruh negara.
Majlis peluncuran juga telah dijalankan secara serentak pada hari ini di setiap sekolah yang terlibat dan berjaya mencatat dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi inisiatif Scientists@Schools: Jom STI!.
Sementara di SKRPB, majlis peluncuran telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa SQS, Prof. Madya Dr. Syariza Abdul Rahman, yang turut menyatakan komitmen SQS dalam membantu sekolah bagi meningkatkan minat murid terhadap STEM dan matematik khususnya selaras dengan aspirasi SQS untuk memperkasa pendidikan kuantitatif serta menyokong agenda pendidikan nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4).
Antara pengisian utama semasa majlis peluncuran ialah “STEM in 30 Seconds”, sebuah sesi ekspresi sains dan matematik kreatif oleh murid Tahun 4, Nurin Maisarah Shahril Izhar, yang membicarakan tentang konsep simetri dalam geometri. Sesi tersebut disusuli dengan perkongsian ilmu oleh Dr. Mohamad Saiful Adli, salah seorang saintis, yang memberikan suntikan inspirasi kepada para pelajar tentang kepentingan STEM dalam dunia masa kini.
Kemuncak aktiviti Bina Bandar Geometri Anda melibatkan seramai 76 murid sebagai peserta yang mencabar kreativiti dan kemahiran matematik mereka. Murid dikehendaki melakarkan serta membina model bandar berdasarkan bentuk geometri. Mereka turut mengira perimeter dan luas bagi setiap struktur yang dibina, sebelum membuat sesi pembentangan projek masing-masing di hadapan rakan dan saintis.
Ketua Aktiviti yang juga saintis, Prof. Madya Dr. Aida Mauziah Benjamin berkata, aktiviti ini bukan sahaja merangsang pemikiran logik dan kreatif, malah membina keyakinan diri serta kemahiran komunikasi.
Beliau berharap pendekatan bersepadu antara saintis dan sekolah mampu melahirkan generasi celik STEM yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Guru Besar SK Raja Perempuan Budriah, Che Aziz Ismail amat berbesar hati dengan kehadiran saintis dari SQS UUM, dan menzahirkan harapan agar kerjasama strategik antara universiti dan sekolah seperti ini dapat diteruskan dan diperkukuh pada masa akan datang demi manfaat murid dan pembangunan pendidikan STEM di peringkat akar umbi.