Syarahan Tamu sentuh tentang masa depan Internet 6G, rangkaian pintar untuk dunia mapan dan selamat
Berita dan gambar Prof. Ts. Dr. Suhaidi Hassan P.P.S
RIAU, 24 September 2025: Fakulti Kejuruteraan Universitas Riau menganjurkan acara Syarahan Tamu bertajuk “Embracing Tomorrow’s Internet in the 6G Era: Intelligent Networking for a Smart and Secure World” yang disampaikan oleh Prof. Ts. Dr. Suhaidi Hassan dari Pusat Pengajian Pengkomputeran, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Acara yang berlangsung di Ruang Boiler Teknologi Pulp & Kertas, Fakulti Kejuruteraan Universitas Riau telah menghimpunkan akademik, pelajar sarjana dan pascasiswazah, serta pentadbir ICT bagi membincangkan masa depan teknologi Internet menjelang era 6G.
Dr. Suhaidi Hassan telah berkongsi pandangan tentang evolusi protokol Internet daripada TCP/IP kepada piawaian baharu seperti QUIC dan Web of Things.
Beliau menekankan bagaimana gabungan IoT, Big Data, Kecerdasan Buatan (AI), dan keselamatan siber akan menjadi teras kepada transformasi digital global di era 6G .
Antara topik utama yang diketengahkan termasuklah 6G sebagai pemacu utama rangkaian pintar dengan kelajuan ultra-rendah kependaman, automasi dipacu AI, serta aplikasi dunia nyata seperti kesihatan pintar, bandar pintar, pengangkutan autonomi, dan kilang pintar.
Selain itu, kepentingan keselamatan, integriti data, dan kebolehpercayaan, memandangkan dunia hiper-terhubung bakal meningkatkan risiko serangan siber dan cabaran privasi serta potensi teknologi baharu seperti pembelajaran teragih (federated learning), pengkomputeran kuantum, dan “network slicing” dalam membina ekosistem 6G yang inklusif, lestari, dan beretika.
Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Kejuruteraan UNRI, Prof. Azriyenni berkata, perkongsian ini membuka wawasan baharu kepada pelajar dan pensyarah, serta mengukuhkan hubungan akademik antara UNRI dan UUM.
“Kami berterima kasih kepada Prof. Suhaidi atas ilmu dan inspirasi yang dikongsikan. Semoga kerjasama ini terus diperkukuh untuk melahirkan graduan yang bersedia menghadapi era Revolusi Industri 5.0,” katanya.
Syarahan Dr. Suhaidi Hassan memberi pendedahan berharga kepada pelajar dan pensyarah UNRI tentang teknologi 6G dan rangkaian pintar. Perkongsian ini membuka wawasan baharu serta mengukuhkan hubungan akademik antara UNRI dan UUM.
Pimpinan Fakulti Kejuruteraan UNRI yang hadir ialah Ketua Jurusan Kejuruteraan Elektrik, Ir. Anhar; Setiausaha Jurusan Kejuruteraan Informatika, Dr. Irsan Taufik Ali, dan Penyelaras Program Studi Kejuruteraan Informatika, Dr. Feri Candra.