Education

Takaful Malaysia x CEDI & SLCP perkasa latihan komuniti, service-learning, penyelidikan, dan masa depan kerjaya pelajar

Berita dan gambar Unit Keusahawanan Sosial, CEDI

SINTOK, 20 Mac 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) dan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah mengadakan sesi perbincangan strategik bersama Takaful Malaysia bagi meneroka potensi kolaborasi dalam latihan komuniti, pemerkasaan pelajar, penyelidikan strategik, serta peluang kerjaya dalam industri takaful dan kewangan Islam.

Sesi ini dihadiri oleh Penyelaras Keusahawanan Sosial CEDI merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerohanian dan Rekreasi SLCP, Fatin Athirah Fadzillah; Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Industri SLCP, Dr. Mohamad Zakuan Tuan Ibharim; Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan SLCP, Prof. Madya Dr. Hishamudin Isam,  dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelajar SLCP, Dr. Mohamad Ammyrul Ashraf Sairan, manakala Takaful Malaysia diwakili oleh Ketua Bahagian Sumber Manusia (Strategik), Irfan Zainal Ismail serta Eksekutif Bahagian Sumber Manusia, Mohd Saiful Reza Ismail.

Perbincangan ini memberi fokus kepada pembangunan latihan komuniti bersama Unit Keusahawanan Sosial (SE) CEDI, di samping memperkasa pelaksanaan service-learning (SULAM) sebagai pendekatan holistik yang menghubungkan teori akademik dengan realiti industri dan masyarakat. Langkah ini bertujuan memberi pengalaman dunia sebenar kepada pelajar, menjadikan mereka lebih bersedia untuk menyumbang kepada sektor korporat dan sosial.

Selain itu, potensi penyelidikan turut menjadi antara agenda utama perbincangan, khususnya dalam bidang analisis wacana dan retorik dalam pemasaran takaful serta penerimaan budaya masyarakat terhadap konsep perlindungan takaful.

Kajian ini bakal meneroka bagaimana bahasa, naratif pemasaran, serta elemen budaya boleh mempengaruhi tahap pemahaman dan penerimaan masyarakat terhadap produk takaful, sekali gus membantu industri membangunkan pendekatan komunikasi yang lebih inklusif dan efektif. Penyelidikan ini juga dijangka membuka ruang kepada pelajar dan penyelidik SLCP untuk memberikan input akademik dalam membentuk strategi pemasaran dan penjenamaan yang lebih berimpak tinggi bagi Takaful Malaysia.

Takaful Malaysia turut menyatakan komitmen untuk turun padang dan melihat bagaimana bidang bukan tipikal seperti bahasa, syariah, serta sejarah terapan boleh menjadi pemangkin kepada peluang kerjaya dalam industri takaful dan kewangan Islam. Perbincangan ini membuka dimensi baharu bahawa kepakaran dalam bidang ini bukan sahaja relevan dalam sektor akademik, tetapi juga mampu diterjemahkan ke dalam sektor korporat, terutamanya dalam aspek komunikasi strategik, pematuhan syariah, dan pembangunan produk takaful.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Takaful Malaysia merancang untuk menganjurkan sesi pembangunan kerjaya, bengkel profesional, dan perkongsian industri bagi membimbing pelajar mengenai potensi laluan kerjaya yang lebih luas dan strategik. Melalui program ini, pelajar akan diberikan pendedahan langsung mengenai keperluan industri serta peluang untuk mengasah kemahiran yang diperlukan bagi menyesuaikan diri dalam dunia pekerjaan yang semakin dinamik.

Kolaborasi ini menandakan satu langkah penting dalam mengkukuhkan hubungan antara akademia dan industri, memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar, serta memperluaskan peluang penyelidikan yang memberi impak kepada strategi komunikasi dan pemasaran industri takaful. Dengan menerapkan elemen keusahawanan sosial dan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning), UUM terus komited dalam melahirkan modal insan yang bukan sahaja kompeten secara akademik tetapi juga berdaya saing dalam dunia industri serta keusahawanan sosial.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button