Tujuh pelajar perakaunan UUM terima Biasiswa KPMG Young Star 2025
Gambar Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi (Pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat))
PETALING JAYA, 23 Julai 2025: Tujuh pelajar daripada Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dipilih sebagai penerima Biasiswa KPMG Young Star bagi Kumpulan 1 Tahun 2025 di Menara KPMG.
Majlis disempurnakan oleh Managing Partner KPMG Malaysia, Foong Mun KongĀ yang menyampaikan sijil kepada semua penerima biasiswa.
Biasiswa ini menawarkan bantuan kewangan sebanyak RM8,000 hingga RM10,000, jaminan latihan industri dan penempatan kerja selepas tamat pengajian, serta akses kepada program pembangunan dalaman dan rangkaian profesional eksklusif di KPMG.
Sesi temu duga untuk pemilihan biasiswa ini telah berlangsung pada 28 hingga 29 Mei lalu di Menara KPMG yang melibatkan seramai 18 calon keseluruhan daripada institusi pengajian tinggi seluruh negara dan tujuh daripadanya merupakan pelajar UUM.
Pelajar-pelajar yang berjaya ialah Kok Jia How, Liew Zhi Tang, Yap Zi Mi, Muhammad Naim Saidin, Ooi Chu Yu, Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi dan Enoch Sea Suin Hern.
Turut diadakan sesi penilaian potensi calon, makan tengah hari oleh badan bukan kerajaan (NGO) tempatan serta sesi jaringan bersama profesional KPMG untuk memberi peluang kepada peserta memahami budaya kerja, nilai dan laluan kerjaya di firma tersebut.
Majlis diakhiri dengan amanat inspirasi daripada Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan Ketua Impak KPMG, Vengadesh Jogarajah yang menyampaikan mesej mengenai nilai teras biasiswa, disertai sesi soal jawab yang aktif bersama peserta.
Pihak KPMG turut memaklumkan bahawa pencalonan untuk Kumpulan 2 tahun 2025 telah dibuka mulai 1 Julai 2025, dan permohonan boleh dihantar sebelum 31 Ogos 2025 melalui laman rasmi KPMG Young Star Scholarship Program 2025.
Calon yang disenarai pendek akan menjalani penilaian dalam talian dan dijemput ke sesi temu duga di Menara KPMG pada bulan Oktober. Penerima biasiswa akan diumumkan pada bulan November 2025.
Universiti Utara Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPMG atas sokongan yang berterusan dalam membangunkan potensi pelajar dan menyumbang ke arah kecemerlangan graduan dalam industri perakaunan negara. – Anis Zulaikha Kamal