Education

Universiti perlu menjadi powerhouse negara – Rushamie Zien

Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir

LANGKAWI, 15 Julai 2025 : Profesor Emeritus Dr. Rushamie Zien Yusoff telah berkongsi pengalamannya dalam Bengkel Pemerkasaan Kepimpinan dan Pemantapan Hala Tuju IBS yang berlangsung selama tiga hari bertempat di De Baron Resort, baru-baru ini.

Program yang berlangsung dari 3 hingga 5 Julai lalu bertujuan memperkukuh semangat berpasukan dalam kalangan warga kerja IBS serta menyelaras hala tuju strategik pusat pengajian ini dalam jangka masa panjang.

Dr. Rushamie dalam pembentangannya dalam Sesi Pemerkasaan Kepimpinan IBS menegaskan bahawa universiti masa kini perlu berperanan sebagai powerhouse negara bukan sekadar institusi pengajian sahaja, tetapi sebagai pusat penjanaan ilmu, penyelidikan dan inovasi.

Beliau menekankan keperluan universiti bergerak seiring dengan perkembangan pesat dunia, seperti dalam industri automotive dan menyatakan bahawa dua komponen utama untuk mencapai taraf global iaitu sistem dan prestasi.

Di smaping itu, beliau turut menyarankan penstrukturan semula IBS melalui peningkatan kelayakan pensyarah, penerbitan, penyelidikan dan kolaborasi antarabangsa sebenar.

“Kekuatan sesebuah universiti bergantung kepada kualiti profesornya yang bukan sekadar mempunyai PhD, tetapi juga berpengaruh dalam dasar dan pembangunan masyarakat. Profesor bukan sekadar jawatan, tetapi amanah.

“Kita tidak cukup hanya melahirkan pemegang PhD, kita mesti melahirkan profesor yang berpengaruh bukan hanya di universiti, tetapi dalam dasar awam dan kemajuan,” katanya.

Menurutnya, profesor mesti memimpin, menerbit, membimbing dan menyumbang kepada dasar serta menyelesaikan masalah sebenar masyarakat.

Beliau menekankan bahawa universiti mesti menjadi pemacu utama masa depan negara dan dunia Islam melalui strategi dan kesepaduan ekosistem universiti.

Prof. Emeritus Dr. Rushamie yang kini merupakan Timbalan Naib Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM), Perlis, menyatakan bahawa IBS tidak seharusnya hanya menjadi pusat rujukan ilmu, tetapi tampil sebagai institusi yang menjana masa depan negara dan dunia Islam.

“Dalam permainan sumo abad ini, yang diperlukan bukan hanya kekuatan, tetapi strategi dan kesepaduan seluruh ekosistem universiti,” katanya.

Sementara itu, Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor berkata, kehadiran Dr. Rushamie amat bermakna kerana beliau merupakan antara individu yang mencorakkan awal penubuhan IBS.

“Prof. Rushamie orang lama dan beliau antara yang membantu IBS semasa awal penubuhannya.

“Beliau tahu jatuh bangun IBS, dan sebab itu beliau kita jemput khas untuk berkongsi aspirasi bersama warga IBS,” katanya.

Menurutnya, kehadiran Prof. Rushamie dalam bengkel ini telah mengembalikan nostalgia perjuangan awal warga IBS serta memperkukuhkan semangat untuk terus gigih mengangkat nama IBS ke persada antarabangsa. – Aini Nurhajar Khairol Nizam

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button