Education

UTLC jayakan Program USR “Merdeka Bersama, Alam Terpelihara” bersama komuniti Yan

Gambar Nur Nadiah Muzer

YAN, 24 Ogos 2025: Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan program University Social Responsibility (USR) bertemakan “Merdeka Bersama, Alam Terpelihara” bersama komuniti di daerah Yan pada 21 Ogos lalu.

Timbalan Pengarah UTLC (Teknikal), Dr. Idyawati Hussein yang merupakan Pengarah Projek berkata, program ini diadakan bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia ke-68 dengan matlamat memupuk semangat cintakan negara dan kesedaran menjaga kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, USR ini bukan sekadar mencerminkan semangat kemerdekaan, tetapi juga mendidik komuniti tentang pentingnya memelihara alam sekitar.

“Kami berharap aktiviti seperti ini dapat menyemai kesedaran generasi muda agar menjadi agen perubahan yang menghargai kebersihan dan keindahan alam semula jadi,” katanya.

Program dimulakan dengan sesi mewarna bertemakan “Sayangi Malaysiaku” bersama murid Tadika Kemas Kampung Titi Serong, di mana pelbagai aktiviti interaktif dijalankan bagi menyemai semangat patriotik serta kecintaan terhadap kebersihan sejak usia awal.

Selepas itu, program diteruskan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan pantai di Pulau Songsong melibatkan staf UTLC, komuniti setempat serta sukarelawan.

Hasil tinjauan mendapati jumlah sampah yang banyak, khususnya botol minuman plastik, berselerakan di kawasan pantai. Aktiviti ini bukan sahaja membersihkan kawasan rekreasi, malah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menguruskan sisa dengan lebih bertanggungjawab demi kelestarian alam.

UTLC komited untuk terus melaksanakan program-program berbentuk sosial dan kelestarian yang memberi manfaat kepada komuniti setempat selaras dengan aspirasi universiti dalam mendukung tanggungjawab sosial serta membina hubungan baik bersama masyarakat. – Fadhlina Md. Pudzi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button