Education

UUM dan MDS perkukuh kerjasama industri pelancongan komuniti setempat 

Berita dan gambar Siti Rokiah Ibrahim

SIK, 29 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Majlis Daerah Sik meneruskan usaha memperkasa komuniti luar bandar melalui penganjuran Bengkel Pemandu Pelancong Setempat Siri 2 yang berlangsung di KEDA Resort Bendang Man pada 26 Julai lalu.

Ketua Penyelidik, Dr. Salmah Omar berkata, program ini merupakan kesinambungan kepada Bengkel Siri 1 yang telah diadakan pada 13 hingga 14 Jun lalu yang bertempat di Sik Inn, Sik.

Menurutnya, mereka ingin melihat komuniti tempatan bukan sahaja mengenali potensi pelancongan di tempat sendiri, malah mampu menjadi pemandu pelancong setempat berlesen yang kompeten dan diyakini.

Bengkel yang melibatkan penyertaan daripada tiga komuniti utama iaitu Kampung Berona, Pertubuhan Pemacu Pelancongan Daerah Sik (PEDAS) dan Primitive Academy yang memberi fokus kepada pembentangan tugasan peserta dalam membangunkan satu pakej pelancongan lengkap yang bersesuaian berdasarkan potensi sebenar untuk mempromosikan daerah Sik sebagai destinasi pelancongan pilihan.

Bengkel ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan geran kajian sosial bertajuk “Pembangunan Modul Pemandu Pelancong Setempat untuk Memperkasa Komuniti Daerah Sik” yang diketuai oleh Dr. Salmah Omar dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), bersama ahli penyelidik iaitu Dr. Nor Hanani Ismail dari SLCP, Prof. Madya Dr. Zawiyah Mohd Zain dari Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Dr. Muna Maryam Azmy dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Siti Rokiah Ibrahim selaku pembantu penyelidik dari SLCP dan dibantu oleh Muhammad Anas Anaqi Mahali, pelajar Sarjana Muda Sejarah Gunaan dari SLCP.

Peserta bengkel turut didedahkan dengan penggunaan teknologi terkini untuk pemandu pelancong untuk diaplikasikan dalam sektor pelancongan setempat melalui sesi perkongsian oleh pensyarah STHEM, Dr. Nurul Syazana Hishamuddin, manakala Pengurus Besar Kedah Tourism, Zaidy Omar turut dijemput untuk berkongsi strategi dan peranan agensinya dalam promosi pelancongan negeri Kedah khususnya di kawasan luar bandar.

Majlis penutup turut diserikan dengan kehadiran Penolong Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Kedah, Syarifah Nattassyya Aidid, dan Ketua Unit Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat, MDS, Noor Azila Johan sebagai tanda sokongan berterusan agensi kerajaan terhadap inisiatif pembangunan pelancongan komuniti luar bandar.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button