Education

UUM dan UNP rintis Program Dual Ijazah pascasiswazah

Berita dan gambar Dr. Muhd Zulhilmi Haron

PADANG, 8 September 2025: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan agenda internasionalisasi akademik melalui sesi perbincangan rasmi bersama Fakulti Ilmu Pendidikan, Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia.

Pertemuan ini memberi tumpuan kepada penawaran Program Sarjana Sains Pengurusan Pendidikan dan Sarjana Pendidikan mengikut mod Dual Ijazah (Dual Degree), satu inisiatif yang diyakini mampu memperkukuh jaringan kolaborasi serantau dalam bidang pendidikan.

SOE UUM diwakili oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Mua’azam Mohamad, serta Pengerusi Program Pascasiswazah Luar Kampus/Pesisir, Dr. Muhd Zulhilmi Haron.

Delegasi ini berperanan memperincikan konsep dan struktur akademik bagi pelaksanaan mod Dual Degree yang membolehkan pelajar mendapat manfaat daripada kelebihan ekosistem pembelajaran di kedua-dua universiti.

Antara aspek penting yang dibincangkan termasuklah penyelarasan kurikulum dan struktur kursus bagi menjamin kesetaraan akademik, mekanisme penyeliaan bersama dalam bidang penyelidikan pascasiswazah, peluang mobiliti akademik pensyarah dan pelajar bagi menggalakkan pertukaran idea serta amalan terbaik, serta prospek pengiktirafan bersama (mutual recognition) bagi memastikan kelulusan graduan setara di Malaysia dan Indonesia.

Dr. Mua’azam berkata, inisiatif ini seiring dengan hasrat UUM untuk memperluas capaian pendidikan pascasiswazah ke peringkat antarabangsa, sekali gus meningkatkan daya saing akademik rantau Nusantara.

Sementara itu, Dr. Muhd Zulhilmi menekankan bahawa mod Dual Degree bukan sahaja menawarkan nilai tambah kepada pelajar, tetapi juga mewujudkan peluang penyelidikan kolaboratif yang lebih relevan dengan isu-isu pendidikan serantau.

Pihak Fakulti Ilmu Pendidikan, UNP menyambut baik cadangan ini dan menzahirkan kesediaan untuk meneliti aspek teknikal pelaksanaan agar program dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Perbincangan ini dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam memperkukuh hubungan strategik UUM–UNP, khususnya dalam usaha memartabatkan bidang pendidikan dan melahirkan graduan pascasiswazah yang berdaya saing, berwibawa serta mampu memacu transformasi pendidikan di peringkat global.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button