UUM dapat peluang baharu bagi cadangan tawaran program sarjana muda dan SKM
Berita dan gambar Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad
SINTOK, 19 Februari 2025: Lawatan dan perbincangan oleh McDonald’s Malaysia ke Universiti Utara Malaysia (UUM) telah membuka peluang baharu untuk penawaran bagi Ijazah Pertama bermula dari Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Perbincangan ini diketuai wakil McDonald’s Malaysia iaitu Naib Presiden Sumber Manusia, Azhar Darbi, manakala wakil UUM terdiri daripada Penyelaras Unit Pengurusan TVET UUMProf. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UUM Holdings Sdn. Bhd., Azman Hisham Che Doi.
Perbincangan ini meliputi perkara membentuk satu program Ijazah Sarjana Muda secara mod ‘hybrid’ pembelajaran dalam kelas dan latihan dalam industri.
Perbincangan diikuti dengan kunjungan hormat McDonald’s Malaysia ke Pejabat Naib Canselor. Prof. Dato’ Dr. Foad Sakdan.
Perbicangan bersama Naib Canselor berkisar tentang UUM sebagai universiti kedua selepas Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang telah melaksana program ini.
Program tersebut telah mendapat pengiktirafan MQA dan pengambilan pelajar untuk penempatan dalam McDonald’s untuk selama dua tahun setengah akan bermula Mac 25, manakala UUM mensasarkan pengambilan bermula bulan September 2026 nanti melalui saluran pengambilan khas.
Program ini bakal membuka peluang untuk graduan SKM3 dan DKM dari McDonald’s Malaysia untuk melanjutkan pembelajaran ke program Ijazah Sarjana Muda dalam mod TVET yang akan diwujudkan di UUM nanti.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad turut menyarankan kerjasama dengan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) untuk pelaksanaan program ini.
Menurutnya, program ini amat berpotensi untuk ditawarkan pada masa akan datang yang boleh melibatkan semua graduan dan komuniti setempat sekitar wilayah utara.
Beliau juga menyatakan bahawa dengan penawaran Program Ijazah dan SKM ini ia dapat membantu pihak industri dengan melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang kompeten.