Education

UUM dilantik Bendahari Majlis Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Awam (MKKPUA) 2025–2027

Gambar Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Alam Sekitar Universiti Malaya dan Pusat Komunikasi Korporat Universiti Malaya

KUALA LUMPUR, 11 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diberikan amanah menggalas tanggungjawab sebagai Bendahari Majlis Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Awam (MKKPUA) bagi penggal 2025–2027, sekali gus memperkukuh peranan universiti dalam agenda keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di peringkat nasional.

Majlis pelancaran rasmi MKKPUA sempena Persidangan Kebangsaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Malaya 2025 turut menyaksikan simbolik penyerahan watikah pelantikan Jawatankuasa Eksekutif kepada Universiti Malaya (UM) selaku Pengerusi MKKPUA.

Persidangan  anjuran bersama oleh UM dan MKKPUA itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) perlu diangkat sebagai agenda utama di universiti awam.

“Aspek KKP harus menjadi keutamaan demi membudayakan keselamatan dan kesejahteraan kampus. Dengan adanya kerjasama erat antara KPT, IPT, industri dan agensi berkaitan, saya yakin kita mampu membina ekosistem pendidikan tinggi yang lebih selamat, sihat dan produktif,” katanya ketika merasmikan persidangan tersebut.

Dalam jawatankuasa eksekutif MKKPUA kali ini, UUM diwakili oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko (RMD), Ts.Dr. Syazwan Syah Zulkifly yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) diberi tanggungjawab mengurus aspek kewangan majlis untuk tempoh dua tahun akan datang.

“Pelantikan ini adalah satu penghormatan buat UUM, dan kami di Bahagian Pengurusan Risiko akan melaksanakan amanah ini dengan penuh komitmen demi menjayakan objektif MKKPUA,” katanya.

Persidangan sehari itu turut menampilkan sesi perkongsian ilmiah merangkumi pengurusan bahan kimia oleh DOSH, ergonomik dan risiko psikososial oleh NIOSH, garis panduan pematuhan industri pembinaan oleh CIDB, serta pengurusan stres warga akademik dan pentadbiran oleh KKM. – Nurulwajhi Yahaya 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button