UUM kongsi kepakaran KKP di SPAT Makmal ’25 UPSI
Gambar RMD dan UPSI
TANJUNG MALIM, 31 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyampaikan ucap tama bertajuk “Pemerkasaan Amalan KKP: Menyemai Budaya Kerja yang Progresif dan Selamat” dalam Seminar Perkongsian Amalan Terbaik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Makmal dan Bengkel (SPAT Makmal ’25) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Ucapan telah disampaikan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko UUM, Shahrul Nizam Ahmad, yang menekankan kepentingan tadbir urus strategik dan sokongan pengurusan tertinggi dalam membudayakan keselamatan di universiti.
“Kecemerlangan KKP di UUM bukanlah hanya terhad kepada pematuhan akta sahaja tetapi diperkuatkan dengan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang menyeluruh serta komitmen jitu daripada pengurusan tertinggi universiti.
“Budaya KKP hendaklah dijiwai oleh segenap lapisan struktur universiti termasuk staf dan juga pelajar,” katanya.
Seminar selama dua hari itu telah dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Mohd Zaidi Aziz, dan menghimpunkan peserta daripada pelbagai institusi pendidikan, industri dan penyelidikan termasuk agensi-agensi kerajaan seluruh Malaysia.
Turut hadir menyampaikan ucapan aluan mewakili Naib Canselor UPSI ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin.
Beliau menyifatkan seminar ini sebagai platform strategik untuk membudayakan amalan keselamatan yang cemerlang dan berkesan. – Nurulwajhi Yahaya