Education

UUM, MyCC perkukuh kolaborasi strategik industri dan akademia

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Asmar Abdul Rahim

KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL) telah mengadakan kunjungan hormat ke Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Iskandar Ismail, di ibu pejabat MyCC, baru-baru ini.

Pertemuan tersebut memberi ruang kepada kedua-dua pihak membincangkan pelbagai peluang kerjasama, khususnya dalam bidang penyelidikan, latihan industri, pembangunan akademik serta perkongsian kepakaran.

MyCC merupakan antara rakan industri UUM yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), dan pertemuan kali ini memperkukuh lagi pelaksanaan inisiatif bersama yang memberi nilai tambah kepada kedua-dua institusi.

Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, kerjasama dengan MyCC amat penting kerana ia memberi pendedahan langsung kepada pelajar dan penyelidik mengenai isu-isu persaingan pasaran serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan.

“Kolaborasi ini membolehkan kami menghubungkan teori dengan amalan sebenar di lapangan, sekali gus melahirkan graduan yang lebih bersedia untuk menyumbang dalam sektor perundangan dan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Datuk Iskandar berkata, MyCC bersedia untuk memperluas bentuk kolaborasi dengan UUM, termasuk melalui program latihan, seminar, penyelidikan bersama serta perkongsian pengalaman berkaitan undang-undang persaingan dan tadbir urus pasaran.

Kunjungan ini sekali gus mengukuhkan hubungan erat UUM dan MyCC yang telah terjalin melalui MoU terdahulu, selain membuka lembaran baharu bagi inisiatif strategik yang mampu memberi manfaat kepada pelajar, penyelidik dan pihak industri.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button