UUM perkukuh pelaksanaan TVET melalui Akademi Dalam Industri (ADI) UUM
Berita dan gambar Dr. Muhamad Fikri Aziz
SINTOK, 21 April 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh usaha dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Akademi Dalam Industri (ADI) UUM, CUIC bagi sesi 2025/2026.
Satu sesi taklimat pelaksanaan program ini telah diadakan baru-baru ini, melibatkan penyertaan wakil-wakil daripada pusat tanggungjawab (PTJ) UUM.
Taklimat tersebut diketuai oleh Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, bersama Dr. Muhamad Fikri Aziz, selaku Pengurus ADI UUM.
Dr. Fikri berkata, sesi ini bertujuan untuk memberi pencerahan berhubung struktur pelaksanaan ADI serta tatacara pentauliahan, penyediaan latihan dan pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga 3.
Menurutnya, ADI merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang kini dikenali dengan pendekatan baharu melalui ADI Pekerjaan dan ADI Perantisan.
Katanya, pendekatan ini menggabungkan latihan teori dan praktikal yang dilaksanakan secara hibrid antara pusat latihan dan syarikat industri, selaras dengan keperluan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).
“Objektif pelaksanaan latihan kemahiran ini adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pengiktirafan kemahiran teknikal serta memberi nilai tambah kepada pelajar yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda.
“Selain itu, pelaksanaan ini juga membuka ruang kepada pensyarah untuk terlibat secara langsung dalam bidang TVET, termasuk dalam aspek pembangunan modul latihan, penilaian dan penyelarasan dokumen WIM (written instructional material) serta NOSS. Dalam masa yang sama, staf pentadbiran turut diberi peluang untuk menyertai latihan kemahiran bagi tujuan peningkatan kompetensi. Pelaksanaan ini turut menyokong inisiatif kerajaan dalam memperluas peluang ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ kepada tenaga kerja industri sedia ada,” katanya.
Dalam pembentangan tersebut, turut dikongsikan ialah pelan perancangan program latihan kemahiran bagi tahun 2025/2026 yang melibatkan pelbagai bidang antaranya pengurusan operasi masjid, kewangan, logistik, teknologi maklumat, perkhidmatan sokongan sosial, pelancongan, seni kulinari, pemasaran digital, seni budaya, serta pengajaran muzik.
Setiap program akan melibatkan tempoh latihan antara enam hingga dua belas bulan, tertakluk kepada tahap kemahiran dan jenis program. Latihan akan dilaksanakan secara sepenuh masa dengan komitmen 70-80 peratus masa di industri dan 20-30 peratus di pusat latihan.
Proses pemantauan dan verifikasi dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui penilaian berterusan, buku log, dan projek akhir. Pelaksanaan ADI ini turut menawarkan insentif bulanan kepada syarikat dan pusat latihan, bergantung kepada kehadiran dan penglibatan perantis.
Dengan pelaksanaan menyeluruh ADI di peringkat universiti, UUM yakin pendekatan ini dapat melonjakkan lagi daya saing graduan serta memperkukuh hubungan strategik antara institusi pengajian tinggi dan pihak industri, selaras dengan Dasar Pendidikan TVET Negara.