Education

UUM sertai Mesyuarat Tahunan Ke-6 AUN-UIE di SMU, Singapura

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad

SINGAPURA, 2 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Mesyuarat Tahunan ke-6 ASEAN Universities Network – Universities Innovation Enterprises (AUN-UIE) yang berlangsung di Singapore Management University (SMU).

Mesyuarat ini menghimpunkan perwakilan inovasi, pengkomersialan dan inkubasi universiti serta ahli akademik dari seluruh rantau ASEAN bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang inovasi dan keusahawanan universiti.

UUM diwakili oleh Timbalan Pengarah (Inovasi), Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad, yang turut menyertai sesi perbincangan meja bulat dan lawatan ke fasiliti inkubasi SMU.

Beliau berkongsi pengalaman UUM dalam memperkasa ekosistem inovasi kampus serta inisiatif pengkomersialan hasil penyelidikan.

Mesyuarat ini memberi fokus kepada tiga tema utama iaitu kerjasama rentas sempadan, peluang pembiayaan perngkomersialan, dan inkubasi pelajar.

Delegasi turut berpeluang menyaksikan pertandingan akhir Lee Kuan Yew Global Business Plan Competition, yang menampilkan startup teknologi mendalam terbaik dari rantau ini.

Pengarah ICC UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar berkata, penyertaan UUM dalam AUN-UIE adalah selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi peneraju dalam inovasi dan pengkomersialan di peringkat serantau.

“Kehadiran UUM dalam platform seperti ini membuktikan komitmen kami untuk memperkukuh jaringan antarabangsa dan memperluas impak penyelidikan melalui kerjasama strategik,” katanya.

Selain UUM, Malaysia turut diwakili oleh Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Delegasi dari negara ASEAN lain termasuk Universiti Brunei Darussalam (Brunei), Institut Teknologi Bandung, Universitas Gadjah Mada dan Universitas Indonesia (Indonesia), Ateneo de Manila University, De La Salle University dan University of the Philippines (Filipina), Nanyang Technological University, National University of Singapore dan Singapore Management University (Singapura), Burapha University, Chiang Mai University, Chulalongkorn University, Mahidol University dan Prince of Songkla University (Thailand), serta Ho Chi Minh City University of Technology dan University of Economics Ho Chi Minh City (Vietnam).

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button