UUM teroka peluang kerjasama latihan industri bersama JABIL
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Wan Nadzri Osman
PULAU PINANG, 4 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh hubungan strategik dengan sektor industri apabila delegasi rasmi universiti mengadakan lawatan kerja ke Global Business Centre (GBC), JABIL, baru-baru ini.
Delegasi UUM terdiri daripada Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh, bersama Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) STML, Prof. Madya Dr. Wan Nadzri Osman, serta Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, dan Penyelaras CUIC, Dr. Nuramalina Mohamad Na’in.
Dr. Mohamed Najib berkata, lawatan ini bertujuan untuk membuka laluan kerjasama lebih luas khususnya dalam bidang latihan industri, pembangunan bakat dan pemindahan ilmu antara universiti dan industri.
Sepanjang sesi lawatan, delegasi UUM diberi taklimat menyeluruh oleh pihak pengurusan JABIL berkenaan struktur operasi, bidang kepakaran serta peranan GBC sebagai hab strategik yang menguruskan fungsi korporat dan perniagaan global syarikat.
Menurutnya, perbincangan dua hala turut berlangsung secara aktif yang menyentuh beberapa aspek utama kerjasama, termasuk penyediaan tempat latihan industri kepada pelajar UUM dalam pelbagai bidang berkaitan seperti pengurusan teknologi, rantaian bekalan, teknologi maklumat dan perniagaan antarabangsa selain pelaksanaan program pembangunan kerjaya, termasuk latihan industri berstruktur melibatkan para pelajar UUM serta sesi perkongsian ilmu dari pihak JABIL.
“Kerjasama strategik sebegini amat penting bagi memastikan pelajar bukan sahaja memperoleh ilmu secara teori, malah bersedia menempuh alam pekerjaan yang semakin mencabar.
“Kami komited untuk memastikan hubungan universiti-industri diperkasa demi melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi kehendak pasaran,” katanya.
Sementara itu, pihak JABIL turut menyambut baik inisiatif ini dan menunjukkan minat untuk memperluaskan kerjasama bukan sahaja dalam aspek latihan industri, tetapi juga dalam penyelidikan bersama dan pembangunan kurikulum yang berorientasikan industri.
Lawatan ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh jalinan strategik antara UUM dan industri, sekali gus menyokong aspirasi universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang relevan, responsif dan proaktif terhadap keperluan semasa negara serta global.