UUMLeads perkasa graduan melalui Program Micro-Credential Digital Culinary Management (Kohort 1) bersama Pepperlab
Berita dan gambar Dr. Nurul Syazana Hishamuddin
KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui UUMLEADS, dengan kerjasama Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Pengurusan Acara (STHEM) serta Pepperlab Sdn. Bhd., telah melaksanakan Program Micro-Credential Digital Culinary Management (Kohort 1) pada 29 September hingga 3 Oktober lalu.
Program ini dijalankan secara hibrid, menggabungkan sesi bersemuka di Dapur Digital Pepperlab, Ampang Hilir, Kuala Lumpur dan secara dalam talian, bagi memberikan pengalaman pembelajaran fleksibel serta latihan amali sebenar kepada para peserta.
Ketua Projek dan penceramah utama, Dr. Nurul Syazana Hishamuddin berkata, seramai 12 peserta terpilih menyertai program ini, terdiri daripada graduan muda lepasan ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dari pelbagai bidang yang berminat untuk menjadi foodpreneur melalui konsep dapur digital (cloud kitchen).
Menurutnya, mereka merupakan individu berpotensi yang kini mencari hala tuju baharu dalam bidang keusahawanan kulinari moden berasaskan teknologi digital.
Kerjasama strategik dengan Pepperlab Sdn. Bhd., syarikat yang menerima dana pelaksanaan projek Dapur Digital di bawah Rancangan Malaysia, menjadi platform penting dalam membangunkan ekosistem smart culinary hub yang menggabungkan latihan akademik, inovasi, dan amalan industri sebenar.
Sepanjang program lima hari ini, peserta dibimbing oleh tenaga akademik STHEM yang berpengalaman luas, iaitu Dr. Nurul Syazana, Dr. Muhammad Fauzi Mokhtar, Dr. Lina Munirah Kamarudin, Dr. Muna Maryam Azmy, Dr. Kamal Izzuwan Ramli dan Norhafizi Nordin.
Mereka menyampaikan modul-modul merangkumi pengurusan dapur digital, keselamatan makanan, strategi perniagaan, kewangan, operasi makanan, serta penggunaan alat digital untuk pengoptimuman jualan dan pemasaran.
Dr. Nurul Syazana berkata, program ini membuka peluang baharu kepada graduan untuk membina kerjaya dalam dunia keusahawanan makanan moden.
“Ramai peserta datang dari latar belakang akademik berbeza seperti ada yang baru tamat PhD atau sarjana, tetapi semua mempunyai minat mendalam terhadap dunia makanan.
“Melalui program ini, mereka bukan sahaja belajar asas pengurusan dapur digital tetapi juga cara menggunakan teknologi untuk menjadikan makanan satu perniagaan sebenar,” katanya.
Selain sesi pembelajaran, peserta turut menjalani penilaian pra dan pasca latihan, tugasan amali serta projek akhir sebelum menerima Pensijilan Mikro (Microcredential Certification) daripada UUMLEADS.
Program ini turut menjadi model rintis untuk memperkukuh hubungan akademia–industri, menyokong agenda pendigitalan dan keusahawanan negara serta melahirkan generasi usahawan makanan digital yang inovatif dan berdaya saing.