Entertainment

Band Solace UUM rangkul gelaran johan, raih dua anugerah di Pertandingan Convex Jam USM 2025

Berita dan gambar Faizul Awang

PULAU PINANG, 26 Oktober 2025: Kumpulan muzik Band Solace dari Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar kejayaan berganda apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Convex Jam The Showdown 2025 yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), sempena Ekspo Konvokesyen USM.

Selain muncul juara keseluruhan, Band Solace turut meraih Anugerah Vokal Terbaik dan Anugerah Pilihan Penonton, menjadikan kemenangan mereka sebagai antara pencapaian paling cemerlang dalam pertandingan tersebut.

Kumpulan yang dianggotai oleh lapan pelajar UUM itu memukau juri dan penonton dengan persembahan bertenaga, susunan muzik kreatif serta vokal mantap yang menonjolkan identiti tersendiri.

Ketua kumpulan Solace, Azraie Azlihan menzahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut.

“Alhamdulillah, kemenangan ini adalah hasil dedikasi seluruh ahli kumpulan yang berlatih bersungguh-sungguh.

“Kami bangga dapat membawa nama UUM ke peringkat nasional dan kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus berkarya dalam dunia muzik yang bermakna,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Budaya dan Seni UUM, Dr. Mohd Azhar Abu Bakar, turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Band Solace.

Menurutnya, kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar UUM bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, tetapi juga menyerlah dalam bidang seni dan budaya.

Katanya, Pusat Budaya dan Seni sentiasa komited menyokong pembangunan bakat pelajar agar dapat bersaing di pentas nasional dan antarabangsa.

Pertandingan Convex Jam The Showdown merupakan acara kreatif seni yang menghimpunkan kumpulan muzik dari pelbagai institusi pengajian tinggi sebagai platform memperkasa bakat seni dan memperkukuh jalinan kerjasama antara universiti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button