Entertainment

Bengkel Zapin Pat Lipat kukuhkan warisan seni budaya Melayu

SINTOK, 29 Mei 2025: Kelab Tarian Bidasari di bawah Pusat Budaya dan Seni (PBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan Bengkel Zapin Pat Lipat, sebuah program yang bertujuan memperkasa dan melestarikan seni budaya tradisional Melayu dalam kalangan pelajar serta komuniti sekitar.

Bengkel ini telah mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan daripada pelbagai institusi termasuk pelajar INASIS UUM, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Kehadiran peserta dari pelbagai latar belakang ini memperlihatkan komitmen bersama dalam usaha mengangkat martabat warisan seni budaya negara.

Menariknya, bengkel ini dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman, Jamil Mat, yang juga merupakan bekas pegawai PBS UUM. Kepakaran dan dedikasi beliau dalam bidang seni tari telah memberikan impak besar dalam penyampaian bengkel, sekali gus meningkatkan kefahaman peserta terhadap teknik dan sejarah zapin Pat Lipat.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengarah PBS, Dr. Mohd Azhar  Abu Bakar, atau lebih dikenali sebagai Dr. Azmeer. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan penganjur atas penganjuran bengkel yang berjaya memperkukuh identiti budaya serta merapatkan hubungan antara universiti dan masyarakat.

“Zapin Pat Lipat adalah warisan yang tidak ternilai. Pusat Budaya dan Seni akan terus menyokong usaha yang memperkasakan seni warisan agar tidak ditelan zaman,” ujarnya.

Program ini diterajui oleh Wardah Wafaa’ Mubarak selaku Pengarah Program, yang turut menyatakan harapan agar lebih banyak bengkel dan program seni budaya dapat dilaksanakan pada masa akan datang sebagai platform pembelajaran dan penghargaan kepada warisan seni bangsa.

Bengkel diakhiri dengan persembahan zapin oleh peserta, mempamerkan hasil latihan dan semangat kesenian yang tinggi sepanjang program berlangsung. – Zunaida Bahadur

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button