Filem pendek “Jejak” raih naib johan dan Anugerah Sinematografi Terbaik di Cabaran Produksi Panik 48 Jam UKM
Berita dan gambar Dr. Aselawati Che Ab Adziz
BANGI, 3 Jun 2025: Tiga pelajar Semester 4, Program Teknologi Media dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai naib johan serta membawa pulang Anugerah Sinematografi Terbaik dalam Program Cabaran Produksi Panik 48 Jam anjuran Video Innovation Club, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) buat julung kali.
Team produksi UUM diwakili oleh Muhammad Alfian Haikal Hafidzi, Muhammad Anees Akmal Abd Manap dan Muhammad Aiman Farhani Serif yang menghasilkan sebuah filem pendek bertajuk “Jejak” berdurasi lima minit. “Jejak” mengangkat tema pencarian identiti dan konflik dalaman manusia, disulam dengan sinematografi yang kreatif dan beremosi.
Mereka telah membawa pulang ahdiah berupa wang tunai RM500 bagi kategori naib juara dan RM100 bagi Anugerah Sinematografi Terbaik.
Pertandingan berprestij yang berlangsung pada 26 dan 27 Mei lalu di Anjung Digital, Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat (FSTM), UKM, telah menyaksikan penyertaan pelajar-pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi, termasuk UKM, KPM Berenang yang merangkul juara dan tempat ketiga.
Pelajar diberi masa selama 48 jam iaitu pada 24 dan 25 Mei untuk menyiapkan produksi penggambaran dan juga pasca produksi. Proses penjurian dilaksanakan di atas talian pada 26 Mei, manakala pada 27 Mei adalah hari pengumuman pemenang dan penutupan program.
Muhammad Alfian Haikal berkata, cabaran utama mereka adalah mengehadkan proses produksi hanya dalam tempoh 48 jam bermula dari sesi taklimat sehingga sesi penilaian akhir.
“Kami hanya ada dua hari tanpa tidur untuk mencipta skrip, merakam dan menyunting filem. Ia satu pengalaman mencabar tetapi sangat berharga,” katanya.
Menurutnya, kemenangan ini merupakan bukti kemampuan pelajar UUM bersaing di peringkat nasional dalam bidang produksi video dan filem pendek.
“Kami sangat bersyukur kerana hasil usaha kami mendapat pengiktirafan juri dan penonton. Ini semua tidak akan berjaya tanpa kerjasama berpasukan dan tunjuk ajar pensyarah kami di SMMTC,” katanya.
Filem “Jejak” turut menarik perhatian juri melalui aspek pencahayaan, pergerakan kamera dan komposisi visual yang sangat menyerlah sehingga melayakkan mereka merangkul anugerah Sinematografi Terbaik, mengatasi beberapa pasukan lain yang turut menghasilkan karya yang berkualiti.
Sementara itu, Dekan, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad berkata, kejayaan ini sejajar dengan objektif program Teknologi Media dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja mahir dari sudut teknikal, tetapi juga mempunyai daya cipta tinggi serta mampu bekerja di bawah tekanan walaupun pusat pengajian mempunyai limitasi peralatan produksi.
“Cabaran seperti ini memberi pendedahan sebenar kepada pelajar tentang dunia produksi profesional. Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi latihan praktikal dunia sebenar.
”Dengan adanya pendedahan awal ini juga dapat merealisasikan harapan dan matlamat universiti dan juga Kementerian Pendidikan Tinggi dengan melahirkan graduasi sarjana muda mendapatkan pekerjaan dengan gaji minimum,” katanya.