Solace rangkul naib johan Battle of The Band: Rhythm Riot 2025
Gambar Muhammad Ezzuan Kamarul Zaman
KUALA LUMPUR, 17 November 2025: Kumpulan band Solace dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya mengharumkan nama universiti apabila merangkul naib johan dalam pertandingan Battle of the Band: Rhythm Riot 2025 anjuran Universiti Malaya (UM) dengan membawa pulang RM1500, piala dan sijil sebagai pengiktirafan terhadap persembahan mantap yang dipamerkan pada malam pertandingan..
Pertandingan edisi 2025 ini menyaksikan Adikara Band dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dinobatkan sebagai juara, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Tu7oh Band, yang merupakan gabungan pelajar dari sekitar Kuala Lumpur.

Selain meraih naib johan, Solace turut mencatat kejayaan berganda apabila menerima Anugerah Pemain Gitar Utama Terbaik, sekali gus mengiktiraf mutu persembahan dan kehebatan teknikal anggota kumpulan tersebut.
Pertandingan Battle of the Band: Rhythm Riot 2025 telah berlangsung pada 15 November di Auditorium Kompleks Perdana Siswa, UM, sebagai sebahagian daripada Festival Konvokesyen Universiti Malaya (FESKUM) 2025. Program ini menjadi platform penting untuk mencungkil bakat muzik dalam kalangan mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Naib Canselor UM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, yang turut mengucapkan tahniah kepada pemenang dan semua peserta di atas persembahan bertenaga mereka.
Pengarah Pusat Budaya dan Seni UUM, Dr. Mohd Azhar Abu Bakar @ Dr. Azmeer, menyifatkan kejayaan Solace sebagai satu pencapaian yang membuktikan keupayaan pelajar UUM untuk bersaing di pentas luar.

“Kejayaan Solace di Rhythm Riot 2025 ini adalah satu kebanggaan buat UUM. Ia membuktikan bahawa pelajar UUM bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai bakat besar dalam bidang seni dan muzik.
“Pusat Budaya dan Seni akan terus memberikan sokongan dari segi latihan, pendedahan pertandingan dan peluang persembahan bagi melahirkan lebih ramai bakat berkualiti,” katanya.
Kejayaan ini sekali gus mengangkat nama UUM di persada seni kampus serta mengukuhkan peranan aktiviti kebudayaan dan kesenian sebagai wadah pembinaan jati diri, disiplin dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa. – Zunaida Bahadur



