Lelaki duduk di koc wanita: Pengabaian peraturan atau sikap tidak peduli?
Oleh: Nurul Hana Ahmad (Pelajar Pelatih dari USIM)
Belakangan ini, isu lelaki yang menaiki komuter dan dengan selamba duduk di koc khas untuk wanita semakin menjadi-jadi. Sebagai seorang pengguna perkhidmatan kereta api, saya merasakan fenomena ini amat membimbangkan dan perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berwajib.
Koc wanita diwujudkan atas dasar keselamatan dan keselesaan, terutama bagi golongan wanita yang menggunakan pengangkutan awam setiap hari.
Namun, apa yang menyedihkan ialah wujudnya segelintir lelaki yang tidak menghiraukan peraturan ini. Adakah mereka tidak menyedari peraturan tersebut atau memilih untuk mengendahkannya? Tindakan ini bukan sahaja mencetuskan rasa tidak selesa kepada pengguna wanita, malah menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap peraturan yang telah ditetapkan.
Lebih membimbangkan, berdasarkan pengalaman saya sendiri, golongan lelaki yang menaiki dan duduk di koc wanita ini sangat tidak peka. Situasi ini dikatakan kerana mereka membiarkan golongan wanita atau ibu yang mempunyai anak kecil berdiri. Si ibu perlu berdiri sambil menggendong anak mereka sehingga tiba ke destinasi yang dituju. Lebih parah lagi, ada pengguna lelaki yang hanya melihat seorang kanak-kanak meminum susu dalam keadaan baring di atas lantai tanpa menawarkan tempat duduk. Mereka memilih untuk melihat situasi tersebut, lalu memejamkan mata mereka.
Menurut salah seorang ibu yang terkesan, dia rasa sangat kecewa dan sedikit marah apabila melihat kebanyakan kaum lelaki yang berada dalam koc wanita, duduk tanpa menghiraukan golongan yang sepatutnya, ibu-ibu yang terpaksa berdiri dan duduk diatas lantai.
Harap pihak KTM bertindak dan bertegas dalam menangani situasi ini. Melihat penumpang lelaki ini seperti tidak punya perasaan, adakah mereka golongan orang kurang upaya (OKU). Pihak berwajib perlu lebih tegas dalam menguatkuasakan peraturan ini. Meskipun tanda koc wanita telah jelas tertera, situasi ini masih berlaku tanpa kawalan.
Saya mencadangkan agar pihak pengurusan menempatkan polis bantuan yang bertanggungjawab memantau dan memeriksa koc wanita dari semasa ke semasa. Jika terdapat lelaki yang masih berada dalam koc tersebut, mereka perlu diarahkan untuk berpindah ke koc lain.
Sekiranya mereka masih berdegil dan enggan mematuhi arahan, tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil sebagai pengajaran. Kesedaran bersama perlu dipupuk agar hak dan keselamatan setiap penumpang dihormati. Apakah kita perlu menunggu insiden yang tidak diingini berlaku sebelum tindakan tegas diambil?