Membina Kampus Inklusif untuk pelajar golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Universiti Utara Malaysia
Anis Zuhaily Zulkarnain, Pelajar Pusat Pengajian Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA)
Majlis Perwakilan Pelajar Inklusif Universiti Utara Malaysia (UUM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap pengumuman bersejarah kerajaan Malaysia melalui Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang menjanjikan pendidikan percuma untuk Orang Kurang Upaya (OKU).
Langkah progresif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencerminkan komitmen negara terhadap prinsip kesaksamaan dan keterangkuman iaitu dua nilai teras yang menjadi tunjang transformasi pendidikan tinggi negara. Pengumuman ini selari dengan aspirasi dalam RPM yang menekankan sistem pendidikan yang efektif, responsif dan berdaya saing.

Penghargaan yang sama juga diucapkan kepada Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang telah menggariskan komitmen institusi untuk memperkukuhkan infrastruktur mesra OKU di kampus Sintok. UUM hari ini telah menyediakan asas kemudahan yang memberi ruang kepada 68 pelajar OKU yang merangkumi 19 pelajar penglihatan, 15 pelajar pembelajaran, 28 pelajar fizikal, lima pelajar pendengaran dan seorang pelajar pelbagai keperluan khas untuk menuntut ilmu dalam persekitaran yang semakin kondusif.
Antaranya termasuk laluan kerusi roda di koridor utama bangunan akademik, kemudahan pengangkutan van OKU untuk mobiliti kampus, penempatan khas di Inapan Siswa (Inasis) yang diusahakan lebih strategik, serta sokongan peperiksaan khas melalui bilik dan masa tambahan. Namun, ruang dialog yang diberikan kepada Majlis Perwakilan Pelajar Inklusif bersama Presiden Persatuan Mahasiswa Istimewa (PERMAI), Norain Adani Rozilani baru-baru ini menunjukkan bahawa komited untuk terus memperkasakan landskap inklusif melalui penambahbaikan berterusan yang berpaksikan suara pelajar.
Antara cadangan penambahbaikan yang diusulkan oleh pihak Majlis Perwakilan Pelajar Inklusif dan Presiden PERMAI ialah pelaksanaan Program Mentor Inklusif yang melibatkan pelajar bukan OKU sebagai rakan sokongan harian. Inisiatif ini bertujuan mengukuhkan jaringan sosial, memudahkan mobiliti akademik dan fizikal, serta memupuk budaya empati merentas komuniti pelajar. Cadangan ini selari dengan aspirasi RPTM untuk memupuk “perpaduan” dan “kesejahteraan holistik”, sekaligus menjadikan kampus sebagai ruang pembelajaran nilai kemanusiaan yang praktikal.

Selain itu, kemaskini infrastruktur fizikal telah dikenal pasti sebagai keutamaan strategik. Antaranya termasuk penubuhan lif di perpustakaan utama, penyediaan laluan kerusi roda yang konsisten merentas kampus, pemasangan mesin Braille di ruang awam strategik, serta penempatan semula pelajar OKU di Inasis yang lebih hampir dengan fasiliti utama seperti dewan kuliah, perpustakaan dan pusat pembelajaran. Langkah ini bertujuan mengurangkan halangan mobiliti yang sering mengganggu produktiviti akademik dan keterlibatan sosial pelajar OKU.
Tambahan pula, penerbitan Buku Panduan OKU UUM yang komprehensif dicadangkan sebagai rujukan rasmi untuk seluruh komuniti kampus. Panduan ini akan merangkumi tiga komponen utama, iaitu pertama, garis panduan pengajaran dan pembelajaran mesra OKU untuk pensyarah, kedua, prosedur permohonan kemudahan peperiksaan khas dan sokongan akademik, serta yang ketiga, senarai sumber sokongan yang tersedia di peringkat universiti dan luar. Pelaksanaan latihan kesedaran OKU wajib untuk semua pensyarah dan staf pentadbir turut dicadangkan bagi mengurangkan insiden ketidaktahuan yang tidak sengaja dan meningkatkan empati institusi.
Selaras dengan aspirasi RPM 2026-2035, turut dicadangkan untuk penubuhan Jabatan Sokongan Orang Kurang Upaya yang beroperasi secara autonomi di bawah naungan universiti. Jabatan khusus ini akan berfungsi sebagai hab koordinasi bersepadu yang menyelaraskan semua aspek kebajikan OKU merangkumi sokongan akademik, perkhidmatan kaunseling khusus, koordinasi program sosial dan akademik, serta pengurusan kemudahan fizikal. Keberadaan jabatan ini akan memastikan setiap pelajar OKU menerima sokongan yang holistik dan tidak terputus dari peringkat kemasukan sehingga tamat pengajian, sekaligus mewujudkan ekosistem sokongan yang responsif dan dinamik seperti yang ditegaskan dalam RPM.
Pengumuman pendidikan percuma untuk OKU dan komitmen UUM untuk memperkukuhkan kemudahan fizikal adalah langkah bersejarah yang wajar disyukuri. Namun, kejayaan sebenar diukur melalui pelaksanaan berterusan yang menyentuh kehidupan harian 68 pelajar OKU di UUM, dari mereka yang menghadapi cabaran penglihatan, pendengaran, pembelajaran, fizikal, hingga pelbagai keperluan khas. Seperti yang ditegaskan dalam RPTM 2026-2035, “tiada sesiapa akan ketinggalan” dalam transformasi pendidikan tinggi Malaysia.

Majlis Perwakilan Pelajar Inklusif berikrar untuk terus menjadi jambatan komunikasi yang berkesan antara pelajar OKU dan pihak universiti. Dengan semangat kolaborasi dan komitmen bersama seperti yang disebut dalam liputan Berita Harian pada Januari 2026 yang menonjolkan “UUM komited perkasa golongan OKU”, kampus Sintok berpotensi menjadi mercu tanda pendidikan inklusif di Malaysia.
Penghargaan terhadap dasar kerajaan dan komitmen universiti bukan sekadar diungkapkan melalui kata-kata, tetapi melalui tindakan berterusan untuk memastikan setiap pelajar OKU tidak sekadar hadir di kampus, tetapi benar-benar merasa dimiliki, dihargai, dan diberi peluang mengejar kecemerlangan tanpa halangan.
Bersama-sama, marilah kita bina kampus yang bukan sahaja mesra OKU, tetapi benar-benar milik semua, sejajar dengan aspirasi MADANI yang menekankan hormat, keyakinan dan ihsan dalam membina masyarakat yang lebih adil dan prihatin. Dengan pelaksanaan strategik ketiga-tiga cadangan teras ini, UUM berada di landasan kukuh untuk merealisasikan visi sebagai institusi yang benar-benar inklusif, responsif dan dinamik dalam memenuhi keperluan semua golongan pelajar tanpa mengira keupayaan.



