Featured News

Menelusuri kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman: Kupas strategi ‘Operation Pink Gink’ dalam Wacana Sejarah Gunaan

Berita dan gambar Muhammad Najmudin Nadzri

SINTOK, 25 Januari 2026: Kebijaksanaan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam menangani ancaman komunis melalui pendekatan diplomasi yang unik telah diangkat sebagai fokus utama dalam program Wacana Sejarah Gunaan yang berlangsung di Dewan Kuliah Gugusan 6/12, baru-baru ini.

Program yang bertajuk “Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj & ‘Operation Pink Gink’ ini merupakan anjuran Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), UUM dengan kerjasama Kelab Sejarah Gunaan UUM Sesi 2025/2026.

Wacana ini telah berjaya menarik minat lebih daripada 200 peserta yang terdiri daripada pelajar UUM pelbagai jurusan serta barisan pensyarah. Kehadiran yang memberangsangkan ini membuktikan bahawa minat generasi muda terhadap sejarah negara kekal utuh.

Wacana ini telah disampaikan oleh tokoh akademik yang disegani, Prof. Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa,  Pengerusi Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian UUM dan juga memegang portfolio penting sebagai Pengerusi Persatuan Sejarah Lisan Malaysia (PSLM).

Mengupas ‘Operation Pink Gink’ dan Rundingan Baling 1955

Dalam pembentangannya, Dr. Mohamed Ali menyentuh mengenai senario politik tanah air sebelum kemerdekaan, khususnya Pilihan Raya Umum 1955. Kemenangan besar Parti Perikatan yang undi sebanyak 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan telah memberi mandat kukuh kepada Tunku.

Kejayaan ini penting kerana pihak British, sebagaimana ditegaskan oleh Sir Gerald Templer, tidak akan melepaskan tanggungjawab di Tanah Melayu sehinggalah mereka berpuas hati bahawa keganasan Komunis telah ditewaskan.

Dr. Mohamed Ali turut memetik kata-kata hikmah Tunku yang memperlihatkan kepimpinan beliau:

“Apabila saya hanya sebagai Presiden UMNO, saya hanya perlu mengambilkira mengenai masyarakat Melayu sahaja. Tetapi apabila diakui sebagai Pemimpin Parti Perikatan, saya perlu juga mengambilkira mengenai orang Cina, India dan semua bangsa di Tanah Melayu”.

Dalam pembentangannya, Dr. Mohamed Ali membawa audiens menelusuri naratif di sebalik ‘Operation Pink Gink’, satu kod nama yang mungkin asing bagi sesetengah pihak, namun membawa impak besar dalam sejarah negara.

Istilah ini merujuk kepada strategi taktikal dan psikologi yang membawa kepada Rundingan Baling pada tahun 1955 antara pihak kerajaan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang diwakili oleh Chin Peng.

Dr. Mohamed Ali menjelaskan bagaimana Tunku Abdul Rahman menggunakan pendekatan diplomasi dengan menawarkan pengampunan (amnesti) kepada pengganas komunis pada 8 September 1955 sebelum pertemuan bersemuka diadakan.

Walau bagaimanapun, ketegasan Tunku terserlah apabila rundingan tersebut menemui jalan buntu kerana beliau enggan menggadaikan keselamatan negara, dengan pendirian ‘Never give in’ (Tidak sesekali mengalah). Akhbar The Straits Times ketika itu melaporkan kegagalan rundingan tersebut dengan tajuk utama ‘The War Goes On’.

Pendekatan Sejarah Lisan

Menariknya, wacana ini turut mendedahkan usaha pendokumentasian sejarah lisan yang dijalankan oleh Dr. Mohamed Ali dan dibantu oleh Muhammad Najmudin Nadzri dan Adam Irfan Zulkifli.

Beliau berkongsi pengalaman menemubual Tuan Jaafar Ismail yang juga dikenali dengan Pak Long Jaafar, saksi proto terakhir peristiwa Rundingan Baling, dalam dua sesi wawancara yang diadakan pada Julai dan Disember 2025 yang kini berusia 98 tahun.

Wawancara yang diadakan pada 9 Disember 2025 di kediaman Pak Long di Kampung Seberang Pekan, Baling ini mendedahkan perspektif ‘akar umbi’ yang jarang diketahui umum.

Pak Long yang ketika itu berkhidmat sebagai Care Taker (Tukang Kebun) di Baling English School sejak 1952 merupakan satu-satunya orang awam Melayu yang dibenarkan berada di zon larangan tersebut.

Antara intipati menarik hasil wawancara tersebut termasuklah:

Ketika Baling diisytiharkan sebagai ‘Black Area’ dan semua kakitangan kerajaan diarah keluar, Pak Long diberikan ‘Special Card’ oleh Military Police (MP) British. Ini membolehkan beliau bebas keluar masuk untuk mempersiapkan bilik darjah yang diubah suai menjadi ruang rundingan dan bekas rumah guru yang dijadikan tempat penginapan delegasi PKM.

Pak Long mendedahkan bahawa beliau telah menyediakan kelengkapan tempat tidur dan bekalan makanan seperti susu ‘Cap Junjung’, Milo, roti, dan ration tentera yang berstatus ‘sealed’ untuk delegasi komunis. Namun, sehingga tamat rundingan, makanan tersebut langsung tidak disentuh oleh Chin Peng dan rakannya yang menggambarkan tahap kewaspadaan dan ketidakpercayaan yang tinggi pihak komunis ketika itu.

Pak Long menyaksikan sendiri ketibaan Chin Peng yang dibawa menaiki kenderaan berperisai GMC dengan bumbung terbuka yang dipasang jaring (untuk menangkis bom tangan/grenade). Menurut pemerhatian fizikal Pak Long, Chin Peng kelihatan seperti lelaki Cina biasa dengan kulit cerah dan tidak menunjukkan reaksi agresif.

Beliau turut berkongsi kenangan manis disapa oleh Tunku Abdul Rahman yang memanggilnya dengan gelaran “Pak Ku”, meminta beliau memastikan persiapan tempat rundingan berjalan lancar.

Dapatan sejarah lisan ini memberikan dimensi emosi dan kemanusiaan kepada fakta sejarah yang kaku, selaras dengan pendekatan Sejarah Gunaan yang menekankan bukti lisan dan lapangan dalam melengkapkan naratif kebangsaan.

Beliau menjelaskan bagaimana ketokohan Tunku terserlah bukan melalui kekerasan senjata semata-mata, tetapi menerusi ketajaman akal dan keberanian berdepan musuh di meja rundingan. Rundingan Baling disifatkan sebagai titik tolak penting yang mematahkan moral perjuangan bersenjata komunis dan memuluskan jalan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu.

Presiden Kelab Sejarah Gunaan UUM Sesi 2025/2026 selaku modertor wacana tersebut, Muhammad Najmudin Nadzri dalam ucapan aluannya menyifatkan program ini sebagai satu penanda aras baharu bagi aktiviti kelab.

“Kami mahu membawa naratif sejarah keluar daripada buku teks semata-mata. Dengan memahami strategi ‘Pink Gink’, pelajar dapat melihat bahawa sejarah adalah ilmu yang relevan dalam membentuk strategi kepimpinan masa kini.

“Kita sering mendengar tentang Rundingan Baling, tetapi istilah ‘Operation Pink Gink’ dan perincian strategi di sebaliknya membuka mata pendengar tentang betapa telitinya Tunku Abdul Rahman. Ia bukan sekadar perjumpaan biasa, tetapi satu percaturan politik kelas dunia,” katanya.

Kisah Tunku Abdul Rahman dan Rundingan Baling adalah kajian kes terbaik tentang conflict resolution (penyelesaian konflik). Keupayaan Tunku memanipulasi situasi dan menggunakan diplomasi untuk menekan pihak lawan tanpa pertumpahan darah yang besar adalah ilmu kepimpinan yang sangat bernilai untuk dipelajari oleh bakal pemimpin negara yang kini sedang menuntut di universiti.

Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektifnya dalam menyemarakkan rasa cinta dan penghargaan terhadap tokoh negara.

Program seperti ini diharap dapat memperkukuh jati diri dan pemahaman mahasiswa terhadap sejarah diplomasi negara, sekaligus melahirkan generasi pelapis yang mampu mengaplikasikan kebijaksanaan sejarah dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button