Featured News

Program Bina Insan Guru perkasa jati diri dan sahsiah guru pelatih

Gambar AJK Biro Media dan Siaraya, Bina Insan Guru 2025

PENDANG, 23 April 2025: Seramai 156 pelajar Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE) sesi 2024/2025 Kampus Sintok dan 56 pelajar PGDE Semester 1 dan 3 Kampus Kota Bharu, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Program Bina Insan Guru (BIG) yang berlangsung selama tiga hari, bermula dari 18 hingga 20 April lalu di Pendang Lake Resort.

Program tersebut dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor UUM CAS merangkap Dekan Pusat Pengajian Pengkomputeran, Prof. Dr. Osman Ghazali.

Program ini merupakan inisiatif tahunan yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), UUM dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Pendidikan (PENDIDIK) UUM, di bawah penyelarasan Pengarah Program, Tan Yen Han.

Yen Han berkata, pelaksanaan program ini bertujuan memperkasa jati diri dan sahsiah guru pelatih melalui pendekatan holistik yang menyentuh aspek fizikal, intelek, emosi dan spiritual.

Mengangkat tema “Langit Ilmu, Akar Budi”, menurutnya, program ini memberi penekanan kepada keseimbangan antara penguasaan ilmu pengetahuan dan pembinaan nilai-nilai murni dalam diri pendidik, selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menekankan usaha melahirkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, program ini memberi fokus kepada pengukuhan nilai-nilai teras keguruan seperti kepimpinan, integriti, komunikasi efektif dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar PGDE.

Peserta telah diberi ruang untuk menjalani pelbagai aktiviti luar kampus yang menekankan penglibatan aktif, semangat kebersamaan, dan kepekaan terhadap peranan seorang guru sebagai pembina masyarakat dan ejen perubahan sosial.

Penyelaras Program PGDE, Dr. Faizahani Ab Rahman berkata, pelaksanaan BIG kali ini memberi penekanan khusus kepada pembentukan karakter pendidik yang bukan sahaja cekap dari segi akademik, tetapi juga mampu menyantuni masyarakat dengan empati dan nilai kemanusiaan.

“Kami percaya guru bukan sekadar pengajar, tetapi ejen perubahan sosial. Melalui program seperti ini, pelajar PGDE dapat menghayati nilai-nilai kemanusiaan dan tanggungjawab mereka terhadap pembangunan modal insan negara,” katanya.

Sepanjang tiga hari pelaksanaan, peserta terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti seperti ceramah ilmiah, slot pengisian rohani, latihan dalam kumpulan (LDK), aktiviti lasak, senaman pagi, sesi refleksi, serta kemuncaknya, Malam Gemilang Bina Insan Guru 2025.

Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menguji kekuatan fizikal dan mental, malah menyemai nilai empati, toleransi, kerjasama, serta rasa hormat terhadap kepelbagaian latar belakang dan keunikan individu dalam kalangan peserta.

Program ini turut diserikan dengan tiga slot ceramah ilmiah yang menyuntik semangat dan memperkukuh kefahaman peserta terhadap profesion perguruan.

Ceramah pertama bertajuk “Temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP): Bukan Sekadar Menjawab Soalan” disampaikan oleh Dr. Sharifah Shafie, yang menekankan kepentingan guru sebagai model teladan dan agen pembangunan sahsiah dalam kalangan pelajar. Beliau turut berkongsi strategi persediaan menghadapi temuduga SPP secara holistik, bukan hanya dari segi jawapan lisan, tetapi juga sikap dan pembawaan diri.

Seterusnya, Dr. Muhd Zulhilmi Haron dan Dr. Marini Kasim berkongsi tentang “Penampilan Terjaga, Emosi Bahagia”. Mereka memberi penekanan kepada aspek penampilan profesional serta pengurusan emosi dalam kalangan guru, sejajar dengan tanggungjawab etika dan amanah dalam mendidik generasi masa depan.

Ceramah ketiga pula disampaikan oleh Dr. Mat Rahimi Yusof, yang membawa tajuk “Pengisian Mengenai Praktikum” berkenaan praktikum keguruan yang akan dijalani oleh pelajar PGDE nanti.

Majlis penutupan telah diserikan dengan Malam Gemilang Bina Insan Guru 2025, yang diadakan bagi meraikan pencapaian pelajar PGDE dalam bidang akademik dan kokurikulum. Malam tersebut turut dimeriahkan dengan Makan Malam Penutup bertemakan “Kepelbagaian Budaya”, di mana peserta tampil anggun dalam pakaian tradisional pelbagai etnik, menjadikan suasana malam penuh warna-warni dan simbolik kepada semangat perpaduan dan keterangkuman.

Pelajar PGDE Kampus Kota Bharu, Nur Fadhillah Ahmad, menyatakan keterujaannya terhadap pengalaman berharga sepanjang program.

“Melalui sesi refleksi dan kerja berkumpulan, saya belajar untuk lebih menghargai cabaran yang dihadapi oleh para guru. Ia menjadikan saya lebih bersemangat untuk menjadi pendidik yang bukan hanya mengajar, tetapi membimbing dengan jiwa,” katanya.

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Muhamad Khairi Othman.

Secara keseluruhannya, Program Bina Insan Guru 2025 telah membuktikan bahawa pendekatan pendidikan holistik yang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan dipandu oleh tema “Langit Ilmu, Akar Budi” adalah kunci dalam melahirkan guru yang bukan sahaja berilmu, malah berjiwa besar dan bersedia mendepani cabaran pendidikan abad ke-21.​ – Siti Solehah Mohd Lutfi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button