Wujudkan Pusat Kajian Maritim Negara dan Marin Pesisir
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Mohamad Ghozali Hassan dan Prof. Ts. Dr. Mohamad Rosni Othman (UPNM)
SEMPORNA, 6 Julai 2025: Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR), yang dahulunya merupakan struktur pelantar minyak milik PETRONAS, kini menjadi barisan hadapan pertahanan maritim negara di perairan Beting Bogoya, Semporna, Sabah.
Namun, satu anjakan besar sedang dirancang untuk nmenjadikan PL TSR bukan sekadar pangkalan ketenteraan, tetapi sebagai Pusat Kajian Maritim dan Marin Pesisir Negara.
Cadangan transformasi ini dikemukakan oleh konsortium penyelidikan yang terdiri daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Utara Malaysia (UUM), dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Ia membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasa penyelidikan saintifik, pembangunan dasar keselamatan maritim serta pemuliharaan ekosistem marin di perairan timur Sabah yang strategik.
Sejak mula beroperasi pada 31 Julai 2015, PL TSR yang kini digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai Pangkalan Hadapan Strategik, PL TSR memainkan peranan penting dalam mempertahankan perairan negara daripada pelbagai ancaman rentas sempadan.
Dengan kedudukannya hanya beberapa batu nautika dari sempadan Filipina seperti Pulau Paguan (15 batu nautika), Pulau Siluag 1 (22.1 batu nautika), dan Pulau Maranas 1 (27.5 batu nautika), pelantar ini telah menjadi tembok keselamatan utama negara.
Dilengkapi sistem radar dan teknologi pemantauan optik, serta dioperasikan 24 jam oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia termasuk pasukan elit PASKAL, PL TSR telah terbukti berkesan dalam membanteras jenayah maritim seperti penyeludupan, penculikan, dan pencerobohan.
Bagaimanapun, kerajaan kini sedang meneliti keperluan mewujudkan platform baharu yang lebih dinamik dan mudah alih sebagai pangkalan maritim strategik. Justeru, cadangan konsortium penyelidikan ini hadir tepat pada waktunya dengan menawarkan satu pendekatan holistik yang bukan sahaja mempertahankan kedaulatan negara, malah memperkukuh kedudukan Malaysia dalam penyelidikan dan diplomasi maritim serantau.
Inisiatif ini mampu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan sedia ada PL TSR untuk tujuan akademik, inovasi dan latihan profesional maritim.
UUM, sebagai universiti terkemuka dalam bidang pengurusan strategik dan dasar keselamatan, akan menyumbang kepakaran dalam pengurusan sumber maritim, dasar perbatasan, dan diplomasi serantau, selari dengan aspirasi negara ke arah kemapanan keselamatan dan ekonomi biru.
Cadangan ini turut disifatkan sebagai langkah ke hadapan dalam memastikan kesinambungan keselamatan negara berpaksikan ilmu dan inovasi menjadikan PL TSR bukan sekadar ikon pertahanan, tetapi mercu tanda baharu penyelidikan maritim negara.