General

13 ahli industri sumbang idea bangun universiti

Gambar Muhammad Husaini Salleh

KUALA LUMPUR: Seramai 13 ahli Majlis Penasihatan Universiti-Industri (MPUI) memberi idea bagi membangunkan staf, pelajar, penyelidikan dan pembangunan akademik untuk tempoh dua tahun akan datang.

Perbincangan menyentuh tentang inovasi digital, kepakaran teknologi, kecerdasan buatan (AI), perniagaan, undang-undang dan pelawaan industri untuk menjadi tenaga pengajar bagi program pascasiswazah.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr Mohd Foad Sakdan berkata, UUM mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran semua ahli MPUI dan saranan yang diberikan pada tahun lalu sudah dilaksanakan oleh pihak pengurusan universiti.

Menurutnya, perbincangan kali ini memfokuskan kepada perancangan sehingga 2026 bagi membolehkan industri dan universiti bekerjasama bagi membangunkan semua aspek termasuk pembangunan staf dalam menguasai teknologi baru.

Katanya, UUM mengharapkan lebih banyak pandangan dilontarkan untuk membolehkan universiti bergerak ke hadapan.

“Pada tahun ini juga UUM ingin mengajak pihak industri menjadi sebagai penulis dalam jurnal bersama staf dan pelajar sebagai usaha memantapkan hubungan antara kedua-dua pihak, selain menambah data dalam Malaysia Research Assessment (MyRA),” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, PKT Logistics Group Sdn. Bhd, Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio berkata, tindakan UUM untuk menghantar pelajar dalam program CEO bersama syarikatnya adalah langkah bijak kerana mereka akan mendapat pengalaman sebenar sebelum menamatkan pengajian.

Bagi Kamal Ariffin Khamarudin dari AGM Industry Expert Section Division Product & Innovations TM One menyatakan kebanyakan industri hari ini lebih memberi tumpuan kepada sijil profesional bagi mencari pekerja kerana kemahiran baru sangat diperlukan dalam membangunkan industri terutama dalam bidang keselamatan siber.

“Sekarang bukan sahaja bakat tetapi pihak industri mahu tenaga kerja yang mempunyai kemahiran yang khusus untuk membolehkan mereka melaksanakan kerja di industri,” katanya.

Antara ahli MPUI yang hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif, PKT Logistics Group Sdn Bhd, Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio; Presiden Chamber of Zainul Rijal, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar; Pengasas AKRAB Resources Sdn Bhd, Raja Azura Raja Mahayuddin dan AGM Industry Expert Section Division Product & Innovations TM One, Kamal Ariffin Khamarudin.

Selain itu, Naib Presiden Malaysian Employers Federation (MEF), Mohd Farid Shah Mohd Basir; Naib Presiden Mercy Malaysia, Razi Pahlavi Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif CBP Coopbank Pertama, Khairil Anuar Mohammad Anuar; Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor, Ts Saipolyazan M. Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif AMRACE Sdn Bhd, Naguib Mohd Nor.

Antara ahli lain yang turut hadir, Pengarah Kanan Government Digitalisation Division, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Muhammad Firdaus Abdul Ghani; Pengerusi Redtech Offshore Sdn Bhd, Datuk Md Nizam Md Sheriff; Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Thomas Mathew dan Pengarah Eksekutif THB Power Sdn Bhd. Liew Seong Yan.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr Ahmad Martadha Mohamed; Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam dan dekan pascasiswazah serta dekan pusat pengajian. – Dr Azahar Kasim

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button