General

Alumni TISSA UUM diiktiraf sebagai ‘Influential Leader’ AACSB

Gambar Wong Wei Qi

SINTOK, 3 Februari 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar sejarah bagi 2025 apabila salah seorang alumni dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) telah terpilih sebagai Influential Leader oleh Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB).

Wong Wei Qi yang merupakan seorang usahawan dan juga pengasas bersama Ibupreneur Malaysia telah terpilih bersama 24 orang pemimpin muda dari universiti yang diakreditasi AACSB.

Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi reputasi UUM sebagai universiti yang melahirkan pemimpin berimpak tinggi dalam bidang keusahawanan sosial dan komuniti.

Wong bukan sekadar usahawan biasa, tetapi seorang pemimpin yang berwawasan tinggi dalam memacu perubahan sosial dan ekonomi. Berbekalkan latar belakang dalam perundingan teknologi, beliau aktif dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar serta memperjuangkan pemberdayaan wanita di Malaysia.

Sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan pengasas bersama Ibupreneur, Wong telah membantu lebih daripada 300 wanita dari komuniti kurang bernasib baik untuk meningkatkan taraf hidup mereka menerusi inisiatif ekonomi yang mampan.

Usaha ini bertujuan mengatasi cabaran yang dihadapi oleh wanita Malaysia, di mana 42.7 peratus daripada mereka berada di luar tenaga kerja akibat tanggungjawab domestik.

Melalui strategi keusahawanan yang inovatif, Wong telah berjaya mendapatkan dana sebanyak RM250,000 daripada Yayasan Hasanah, sayap impak sosial Khazanah Nasional Berhad.

Dana ini digunakan untuk memperluaskan program latihan serta mengoptimumkan kos operasi dapur Ibupreneur. Hasilnya, bukan sahaja lebih ramai wanita diberdayakan, malah pendapatan syarikat meningkat empat kali ganda bagi setiap ringgit yang dilaburkan.

Selain memperjuangkan pemberdayaan wanita, Wong juga komited terhadap kelestarian alam sekitar. Beliau turut mengasaskan Circlepac, sebuah syarikat pembungkusan mampan yang bertujuan mengurangkan penggunaan plastik dalam industri penghantaran makanan di Malaysia.

Beroperasi dalam pasaran yang berkembang pesat, Circlepac telah membantu lebih daripada 400 perniagaan dalam menggunakan bungkusan kompos yang lebih mesra alam. Setakat ini, syarikat tersebut telah berjaya menggantikan hampir 2 juta unit plastik dengan alternatif yang boleh dikompos.

Pengiktirafan oleh AACSB ini bukanlah yang pertama buat Wong. Sebelum ini, beliau telah menerima pelbagai anugerah termasuk TalentCorp Malaysia’s Citra Madani Award 2023, Anugerah Projek Keusahawanan Sosial Terbaik 2021 oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, serta menjadi finalis Women of the Future Southeast Asia Award 2021.

Sebagai graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dengan kepujian dari UUM, pencapaian luar biasa Wong ini membuktikan bahawa institusi ini bukan sekadar melahirkan graduan, tetapi pemimpin yang mampu mencipta perubahan di peringkat global.

Kejayaan Wong Wei Qi menjadi inspirasi kepada seluruh warga UUM dan memperkukuhkan lagi kedudukan universiti ini sebagai peneraju dalam bidang pendidikan perniagaan serta keusahawanan sosial.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button