Bankuet Diraja Alumni UUM rai silaturahim, warisan dan aspirasi
Gambar Hairul Nizam Zahari dan Mohd Fuad Hamid
PETALING JAYA, 10 Ogos 2025: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah,
Sultan Negeri Kedah Darul Aman, Tuanku Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berkenan berangkat ke Bankuet Diraja Alumni UUM 2025 di One World Hotel, malam tadi.
Keberangkatan baginda disambut oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, barisan pengurusan tertinggi universiti, serta alumni dari pelbagai latar belakang yang hadir memeriahkan majlis gilang-gemilang tersebut.
Turut berkenan berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah merangkap Pro-Canselor UUM; Duli Yang Amat Mulia Dato’ Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah; serta Tengku Tan Sri Dato’ Paduka (Dr.) Mahaleel Tengku Ariff.
Di samping itu, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, Tuanku Raja Puan Muda Kedah dan Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff, Tunku Puan Mahkota Kedah turur perkenan berangkat hadir ke bankuet tersebut.
Majlis berprestij ini menjadi wadah menghimpunkan alumni UUM, mengukuhkan silaturahim serta meraikan pencapaian mereka yang telah mengharumkan nama universiti di persada nasional dan antarabangsa, selain menyerlahkan warisan tradisi, semangat kebersamaan, dan aspirasi masa depan universiti.
Majlis turut diserikan dengan persembahan memukau daripada artis jemputan tersohor seperti Datuk Jamal Abdillah, Dina Nadzir, Farhan, Aril Pilus dan Amir Masdi, yang menghangatkan suasana malam penuh bersejarah ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar, ahli-ahli LPU dan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU).