General

CEDI UUM jayakan inisiatif keusahawanan sosial melalui “Budi Baik” di Felda Laka Selatan

Gambar Kelab Kebajikan CEDI

FELDA LAKA SELATAN, 27 Mac 2025: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan program “Budi Baik by CEDI” di Masjid Al-Huda, Felda Laka Selatan sebagai satu usaha memperkukuh kefahaman konsep keusahawanan sosial dalam kalangan staf dan pelajar melalui pendekatan holistik yang melibatkan kerjasama rentas institusi dan komuniti.

Timbalan Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Saiful Azizi Ismail berkata, program ini menyatukan pelbagai elemen pembangunan masyarakat seperti aktiviti kerohanian, pemerkasaan ekonomi dan pendidikan nilai.

Menurutnya, program ini juga merupakan pelaksanaan modul rintis keusahawanan sosial yang direka khusus untuk meningkatkan kefahaman staf CEDI sendiri terhadap prinsip dan amalan keusahawanan sosial.

“Kami mahu warga CEDI benar-benar memahami bahawa keusahawanan sosial bukan sekadar memberi bantuan, tetapi tentang mencari penyelesaian jangka panjang terhadap masalah komuniti melalui pendekatan yang inovatif, lestari dan berkesan.

“Modul ini ialah latihan lapangan sebenar supaya kami sendiri turun padang, membina kepercayaan, dan berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

????????????

Program ini menampilkan aktiviti seperti Tazkirah Interaktif, solat Dhuha dan Zohor berjemaah, bengkel Keusahawanan Sosial, penyediaan kek puding bersama komuniti setempat serta agihan Bakul Budi CEDI kepada penduduk.

Menariknya, program ini memanfaatkan pendekatan Quantuple Helix, satu model kerjasama antara akademia, industri, kerajaan, komuniti dan alam sekitar telah memperlihatkan sinergi erat antara UUM dan Masjid Al-Huda, Felda Laka Selatan melalui penglibatan Pegawai Kanan Pusat Islam UniMAP merangkap Pengerusi Masjid Al-Huda, Mohamad Shabudin Mohamad Noor. Beliau bertindak sebagai jambatan antara universiti dan komuniti, serta menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam program berbentuk nilai dan pembangunan.

CEDI turut menerima sokongan daripada Pejabat Felda Laka Selatan, memperkukuh peranan institusi awam dalam membina jaringan sokongan terhadap pembangunan kapasiti komuniti melalui inovasi sosial.

Sebagai simbol kerjasama dan perkongsian nilai, program ini menyaksikan penyediaan sebanyak 500 bekas kek puding bersama komuniti setempat. Sebahagian daripadanya diagihkan untuk Majlis Iftar Masjid Al-Huda, manakala sebahagian lagi dihantar ke Kafe Flour Crown milik Alumna UUM, Wan Aifaa Shafia, sebagai bentuk sokongan inisiatif ini dan hasil jualan digunakan bagi program berikutnya bersama komuniti.

????????????

Turut hadir menyerahkan 80 Unit Bakul Budi CEDI kepada masyarakat ialah Pengarah Eksekutif CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan yang turut merakamkan penghargaan atas semangat gotong-royong dan keterbukaan komuniti Felda Laka Selatan dalam menerima pendekatan keusahawanan sosial sebagai satu bentuk pemerkasaan jangka panjang.

Penyelaras Keusahawanan Sosial CEDI, Fatin Athirah Fadzillah pula menyatakan bahawa penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan menyantuni komuniti, tetapi juga memperkenalkan satu bentuk pelaksanaan projek sosial yang boleh dijadikan model rujukan bagi staf dan pelajar.

“Budi Baik bukan sekadar nama program, ia adalah amalan nilai dalam tindakan. Kami mahu komuniti melihat bahawa universiti boleh hadir bersama mereka, bukan sebagai pengajar semata-mata, tetapi sebagai pendamping dalam membina potensi dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Program ini turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengamalkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dan mendalami aspek kepimpinan, komunikasi, serta empati dalam konteks sebenar.

“Budi Baik by CEDI” adalah antara inisiatif yang mendukung agenda UUM sebagai universiti berimpak sosial tinggi, selaras dengan aspirasi nasional dan global dalam membina masyarakat yang mampan dan sejahtera. – Akmal Ahlami Md Rozai

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button