General

CUIC dan TalentCorp bincang cara tingkat kebolehpasaran graduan UUM

Gambar CUIC

KUALA LUMPUR, 12 Februari 2025: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) telah mengadakan lawatan kerja ke Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bagi membincangkan peluang kerjasama strategik sedia ada bagi memperkasakan pembangunan modal insan serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Lawatan ini yang diketuai Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam itu bertujuan untuk meneroka inisiatif yang dapat menghubungkan institusi pendidikan tinggi dengan sektor industri, khususnya melalui program Insentif Latihan Amali (ILHAM) KESUMA dan Future Skills Talent Council (FSTC).

Kedua-dua inisiatif ini berperanan penting dalam menyediakan tenaga kerja yang lebih bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin dinamik.

Diperkenalkan dibawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Insentif Latihan Amali (ILHAM) KESUMA merupakan inisiatif bagi membantu bakat baharu dan merancakkan sektor pekerjaan negara di mana ILHAM KESUMA merangkumi empat komponen utama iaitu Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP), Geran Padanan Industri untuk Perusahaan Kecil, Sederhana (PKS) dan syarikat pemula (LiKES), serta MyNext.

Future Skills Talent Council (FSTC) pula merupakan inisiatif yang dipacu industri di bawah rangka kerja MyMAHIR, bertujuan untuk menangani cabaran dalam ekosistem bakat Malaysia. Ia memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara permintaan industri dan keupayaan tenaga kerja dengan memupuk kerjasama antara pengawal selia, industri, ahli akademik dan penggubal dasar.

Semasa sesi perbincangan ini pihak TalentCorp juga menyatakan perancangan untuk menganjurkan Bengkel Kerjasama Industri-Akademik yang menyasarkan ahli akademik di Wilayah Utara. Pihak TalentCorp masih meneroka universiti yang berpotensi untuk menganjurkan program ini dan ingin menjemput UUM untuk mempertimbangkan penganjuran inisiatif serantau ini.

Dr. Chandrakantan meluahkan rasa terima kasih diatas penglibatan pihak TalentCorp sebagai rakan strategik UUM yang terus menunjukkan minat dan inisiatif dalam membantu UUM dalam pelbagai kerjasama secara terus menerus dan dalam rangka memperbaharui semula MoU sedia ada.

Lawatan ini menandakan komitmen CUIC dalam membina hubungan erat dengan pihak industri bagi memastikan graduan lebih bersedia untuk memenuhi permintaan pasaran kerja. Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan perbincangan susulan bagi memperincikan strategi pelaksanaan inisiatif yang telah dibincangkan.

Turut hadir, Ketua, Campus Engagement & Mobility, Graduate & Emerging Talent (GET) Talentcorp, Ardy Gunsuh; Pengurus Future Skills Talent Council, Dr. Aravinthan Vengettaraman dan Timbalan Pengarah (Jaringan Industri), CUIC, Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa. – Siti Nazirah Jaya

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button