Dari Jaipur ke Sintok! Prof. Madya Dr. Ashu Sertai SOL UUM dalam IFEX 2025
Berita dan gambar oleh Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah
SINTOK, 22-30 September 2025: Pusat Pengajian Undang-undang (SOL) telah menyertai International Faculty Exchange Week (IFEX @UUM 2025) yang berlangsung dari 25 hingga 30 Oktober 2025. Penyertaan kali ini amat bermakna kerana ia merupakan penglibatan pertama SOL sejak tiga tahun penganjurannya.
Tahun ini, program IFEX @UUM 2025 melibatkan seramai 22 profesor pelawat dan pensyarah dari lapan negara di Asia dan Eropah, yang digandingkan dengan tenaga akademik UUM daripada 11 pusat pengajian.

Pada IFEX @UUM 2025 ini, SOL telah menerima kehadiran Prof. Madya Dr. Ashu Maharshi dari Manipal University Jaipur, India. Beliau telah digandingkan bersama dua pensyarah SOL, iaitu Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman dan Encik Ahmad Nasyran Azrae. Sepanjang penempatan beliau di UUM, khususnya di SOL, pelbagai aktiviti telah diatur, termasuklah aktiviti akademik, perbincangan penyelidikan dan penerbitan, serta lawatan ke beberapa fasiliti di UUM.
Jadual padat Prof. Madya Dr. Ashu di UUM bermula dengan lawatan ke Anjung Tamu serta beberapa fasiliti utama yang ada di UUM termasuklah Pusat Sukan dan Pusat Kesihatan. Ini disusuli dengan menghadiri Majlis Perasmian IFEX @UUM 2025 yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Pada majlis ini, Prof. Dr. Azizuddin sempat beramah mesra dengan semua Profesor dan Penyarah pelawat yang menyertai IFEX @UUM 2025 serta menyampaikan surat lantikan kepada setiap Profesor dan Pensyarah Pelawat.
Hari kedua Prof. Madya Dr. Ashu dimulai dengan menghadiri forum Leadership Seminar for Senior Administrators anjuran Jabatan Sumber Manusia UUM yang mengangkat tema “Leading Forward: Adaptive Confident, and Purpose-Driven Leadership”. Pada sesi forum ini, Prof. Madya Dr. Ashu selaku ahli panel telah sudi berkongsi bicaranya yang bertajuk “Emotional Intelligence in Administration: Leading with Empathy” bersama dengan hampir 40 staf pentadbiran UUM.
Di sebelah petangnya, Prof. Madya Dr. Ashu telah mengadakan kunjungan hormat kepada Penolong Naib Canselor UUM COLGIS merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-undang, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab. Pada sesi ini Dekan menekankan kepentingan untuk memperkukuh hubungan akademik serta memperluas jaringan kerjasama antara kedua-dua institusi.

Pada hari ketiga, Prof. Madya Dr. Ashu telah mengisi jadual padatnya di Pusat Pengajian Undang-undang, di mana beliau telah diberikan sebuah pejabat untuk menjalankan kerja-kerja akademik. Prof. Madya Dr. Ashu telah mengadakan perbincangan bersama dengan Pengarah Legal and Justice Research Centre (LJRC), Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman. Perbincangan empat mata ini telah menyentuh pelbagai bidang kerjasama, khususnya dalam aspek penyelidikan dan penerbitan.
Pada sesi petang, Prof. Madya Dr. Ashu telah memberikan kuliah umum Penyelesaian Pertikaian Alternatif di bawah tajuk “Turning Conflict into Agreement: Negotiation Skills for Future Lawyers.” Kuliah umum ini telah dihadiri oleh pelajar tahun akhir Program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang.
Aktiviti Prof. Madya Dr. Ashu di hari keempat dimulai dengan melawat beberapa jabatan strategik dan fasiliti menarik yang ada di UUM, termasuklah Muzium Pengurusan UUM, U-Assist dan Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC). Prof. Madya Dr. Ashu turut dibawa melawat sekitar pekan Changlun untuk mengenali dengan lebih lanjut kegiatan ekonomi serta aktiviti sosial penduduk setempat. Aktiviti hari keempat berakhir dengan Majlis Makan Malam bersama semua peserta IFEX @UUM 2025 yang dianjurkan di EDC UUM.
Pihak CIAC turut mengaturkan lawatan ke Alor Setar untuk semua profesor dan pensyarah pelawat sebelum mereka berangkat pulang ke negara masing-masing. Ia memberi peluang kepada mereka mengenali dengan lebih dekat sosio budaya dan aktiviti masyarakat setempat. Aktiviti di hari kelima ini merangkumi lawatan ke Masjid Zahir, Pekan Rabu, Balai Seni Negeri Kedah, Muzium DiRaja Kedah serta rumah tradisional melayu lama, Rumah Tok Su. Program IFEX @UUM 2025 melabuhkan tirai secara rasmi pada 31 Oktober 2025.
				
					


