Dua projek SULAM raih pingat emas, PineConnect ungguli Best SULAM Project Award di Putra Innocreative x SULAM @ UPM Carnival 2025
Gambar Dr. Siti Noorjannah Abd Halim
SERDANG, 23 Jun 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar kejayaan membanggakan di peringkat kebangsaan apabila dua projek SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) di bawah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) berjaya merangkul dua pingat emas serta satu pengiktirafan tertinggi iaitu Best SULAM Project Award dalam 7th International Putra Innocreative Carnival in Teaching & Learning x SULAM @ UPM Carnival 2025 di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Karnival bermula 16 Jun sehingga 17 Jun itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Dua projek yang mengharumkan nama UUM adalah Transformasi Komuniti Tani Melalui AgroSULAM: Kisah Nanas MD2 Kubang Pasu di mana ahli pasukan terdiri daripada Dr. Siti Noorjannah Abd Halim, Dr. Norzalila Jamaludin, Dr. Muhammad Fadzly Zakaria, Prof. Madya Dr. Norashidah Hashim dan Dr. Tunku Nur Athikah Tunku Abaidah, manakala projek kedua ialah PINECONNECT: Pengurusan Agropine Menggunakan Aplikasi dan Pembangunan Web yang disertai Dr. Norzalila Jamaludin, Muhammad Fadhil Zulkifli, Kathriana Lenya Joseph, Anis Syahira Rosman, Anis Zulaikha Zarin, Muhammad Fakhrullah Mohd Nasir dan Dr. Siti Noorjannah Abd Halim.
Dr. Norzalila berkata, kedua-dua projek ini berjaya meraih pingat emas, manakala projek PineConnect turut diangkat sebagai Best SULAM Project Award, menewaskan 74 projek lain daripada IPTA dan IPTS seluruh negara.
Menurutnya, projek PineConnect ini turut dinilai Best SULAM Project Award berdasarkan pengiktirafan projek SULAM yang memberi impak yang boleh diukur, seperti pemindahan ilmu dan teknologi, kerjasama antara pelajar dan pensyarah, serta penglibatan aktif daripada komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO), industri dan agensi berkaitan.
“Projek ini juga perlu berorientasikan kelestarian dan menjana manfaat jangka panjang kepada komuniti di mana projek SULAM ini melalui kerjasama erat antara SBM, UUM dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Cawangan Kedah/Perlis serta Komuniti Pengusaha nanas Kubang Pasu.
“Kedua-dua projek ini merupakan manifestasi terbaik penerapan model Quintuple Helix iaitu kerjasama strategik antara akademia, agensi kerajaan, komuniti dan alam sekitar dalam menghasilkan penyelesaian mampan yang memberi impak jangka panjang kepada pembangunan masyarakat setempat,” katanya yang turut berterima kasih kerana projek tersebut dikoordinasikan dan ditadbir urus oleh Centre for Academic Excellence & Professionalism (CAEP) UUM.
Beliau berkata, kejayaan ini membuktikan kekuatan pendekatan SULAM bagi kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam pelbagai transdisiplin program akademik dan kesediaan menggerakkan agenda universiti untuk masyarakat setempat secara lebih konkrit dan mampan.
Dengan itu juga SULAM yang dilaksanakan ini dapat membuktikan penyertaan aktif pelajar dalam mencapai hasil pembelajaran yang dipelajari melalui projek sebenar bersama komuniti bukan sahaja membina kemahiran praktikal, malah melatih mereka menjadi pemimpin yang peka, kreatif dan berinovasi.
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah pada majlis penutup yang mempersembahkan pelbagai projek pengajaran dan pembelajaran SULAM berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh keterlibatan universiti bersama komuniti. – Dr. Norzalila Jamaludin