Gac, buah dari syurga kini menjadi jem berkhasiat
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 19 November 2025: Buah gac atau nama saintifiknya Momordica cochinchinensis, yang berasal dari Vietnam, semakin dikenali meskipun penanaman buah tersebut masih kurang meluas di negara ini.
Buah eksotik berwarna merah menyala ini turut dikenali sebagai ‘buah dari syurga’ kerana sifatnya yang dikatakan mampu meningkatkan daya tahan tubuh manusia.

Setelah berjaya menghasilkan pelbagai inovasi berasaskan buah gac seperti jus gac, kosmetik dan serum, penyelidik dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail, tampil memperkenalkan inovasi baharu dalam bidang pemakanan dengan mencipta jem menggunakan buah gac, sejenis buah tropika yang kini mula ditanam di negeri Perlis.
Kajian yang dijalankan bertujuan memanfaatkan khasiat tinggi buah berwarna merah jingga itu, yang kaya dengan likopena dan beta-karotena, bagi menghasilkan produk makanan yang lebih berkhasiat serta mesra pengguna.
Inovasi ini bukan sahaja membuka peluang baharu dalam industri pemprosesan makanan tempatan, malah berpotensi meningkatkan nilai komersial buah gac di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Dr. Risyawati berkata, penyelidikan ini mengangkat potensi buah gac dalam pembangunan produk nutraseutikal dan kosmetik.
Menurutnya, usaha FInDER bukan hanya menumpukan kepada penghasilan produk, tetapi turut memperkasakan komuniti terpinggir termasuk orang kurang upaya (OKU) melalui penglibatan mereka dalam pertanian bernilai tinggi berasaskan tanaman gac yang kaya manfaat kesihatan serta mempunyai nilai komersial yang besar.
“Produk ini bukan sahaja menawarkan rasa yang enak, tetapi juga mengandungi banyak khasiat yang memberi manfaat kepada kesihatan, menjadikannya pilihan utama bagi mereka yang mementingkan gaya hidup sihat.
“Sekiranya ada pihak industri yang menyambut baik kolaborasi ini untuk terus bekerjasama dengan para penyelidik dalam mengembangkan produk inovatif berasaskan bahan-bahan semula jadi, produk ini bakal berada di pasaran tidak lama lagi,” katanya.



