Graduan perlu miliki ciri penting membezakan dengan orang lain
SINTOK, 12 November 2024: “Dalam apa jua yang dilakukan, pasti ada orang lain yang akan bersaing dengan diri anda,” kata Pro-Canselor, Yang Mulia, Tengku Tan Sri (Dr.) Mahaleel Tengku Ariff pada Majlis Konvokesyen Ke-37 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.
Menurutnya, graduan perlu pada ciri penting yang membezakan antara graduan dan orang lain iaitu integriti, ilmu dan kepandaian, menghormati dan merendah diri pada orang lain, menerima perbezaan dan bekerjasama dengan semua orang, melepaskan perkara yang tidak boleh diubah, mencari ilmu berterusan untuk menjadi intelektual dan berada di hadapan dan berbeza dengan orang lain serta komitmen.
Beliau turut berkongsi pengalaman dan ilmu beliau bersama graduan, antaranya ketika memohon pekerjaan graduan perlu ingat setiap tahun 100,000 graduan menulis resume mereka untuk mendapat kerja, bagaimanapun graduan perlu memiliki sifat seperti kebolehan berfikir dalam keadaan yang kompleks, menganalisa dan menawarkan penyelesaian luar kotak.
Kedua, beliau mengingatkan tentang masa depan dengan boleh membuat keputusan untuk menjadi berdikari, justeru dua perkara yang perlu ada pada graduan iaitu pendapatan pilihan dari apa yang sedang diperolehi dan pengetahuan untuk belajar perkara baru yang tidak boleh berhenti, belajar dari mereka yang memilikinya.
Yang Mulia Tengku berkata, banyak perkara yang berlaku tanpa disedari dan ini akan menjadi dunia baharu yang akan mengubah cara hidup dan kehidupan graduan.
Menurutnya, apa yang penting adalah menyedari dan menjangkakan apa yang berlaku seterusnya supaya graduan dapat bersedia dengan kemahiran baharu untuk kehidupan.
“Peringatan dan harapan akhir saya adalah untuk mengingatkan UUM sebagai alma mater alumni semua dan buat apa yang termampu untuk menjadikan ia universiti yang hebat.
“Pada masa sama, graduan diingatkan sentiasa berterima kasih kepada ibu bapa dan akademia serta staf UUM yang menyumbang kepada graduan dari aspek ilmu dan pemikiran baharu untuk sediakan diri kepada peluang dan cabaran baharu,” katanya.
Seramai 791 graduan menerima ijazah masing-masing yang disampaikan Pro-Canselor pagi tadi.
Turut hadir, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Timbalan-timbalan Naib Canselor.