Hampir RM2,000 dan 300 pakaian disumbang bukti solidariti MPP UUM bersama gelandangan
MPP UUM realisasikan Aspirasi Mahasiswa MADANI bersama Food For Gelandangan
Gambar MPP UUM
KUALA LUMPUR, 3 Mac 2026: Aspirasi Mahasiswa MADANI bukan sekadar slogan, tetapi satu seruan untuk pelajar menjadi barisan hadapan dalam mendepani isu-isu kritikal masyarakat.
Di ibu kota, antara realiti yang sering menjadi perhatian ialah isu gelandangan dan kemiskinan bandar yang terus menuntut keprihatinan kolektif.
Menyahut seruan tersebut, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) telah menggerakkan inisiatif kebajikan melalui kolaborasi bersama Food For Gelandangan (FFG), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang aktif membantu komuniti gelandangan dan miskin bandar di sekitar Kuala Lumpur.

Melalui kempen Sinar Syawal yang dilancarkan, MPP UUM berjaya mengumpulkan hampir RM2,000 sumbangan tunai serta lebih daripada 300 helai pakaian terpakai hasil sokongan padu warga universiti.
Sumbangan tersebut kemudiannya disalurkan kepada golongan sasaran bagi meringankan beban menjelang Syawal.
Yang Dipertua MPP UUM, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal berkata, pelajar harus berani keluar daripada zon selesa dan mendekati realiti masyarakat.
Menurutnya, pelajar tidak boleh sekadar menjadi pemerhati kepada isu sosial, sebaliknya harus menjadi barisan hadapan yang turun menyantuni masyarakat, memahami denyut nadi mereka dan bertindak dengan solusi yang nyata.
Syahmi Iman berkata, inisiatif seperti ini bukan sahaja bertujuan membantu dari sudut material, malah membentuk empati dan kesedaran sosial dalam kalangan pelajar.
“Isu gelandangan dan miskin bandar bukan sekadar statistik. Mereka adalah manusia yang mempunyai maruah dan harapan.
“Jika kita benar-benar memahami erti kepimpinan, maka kita perlu hadir bersama mereka, bukan sekadar berbicara tentang mereka,” katanya.

Kolaborasi bersama FFG turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk melihat sendiri cabaran yang dihadapi komuniti miskin bandar di tengah-tengah kemajuan metropolitan Kuala Lumpur.
Pengalaman turun padang tersebut menjadi platform pembelajaran yang tidak diperoleh di dalam dewan kuliah. Inisiatif Sinar Syawal ini membuktikan bahawa peranan mahasiswa melangkaui batas akademik.
Dengan kesedaran, keberanian dan solidariti, mahasiswa mampu menjadi agen perubahan yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Semoga usaha kecil ini menjadi langkah berterusan dalam memupuk budaya kepimpinan berjiwa rakyat serta memperkukuh peranan mahasiswa sebagai pemacu perubahan sosial negara.
Turut serta, Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan juga Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Mazli Mutazam.



